UMAR gigih berlatih sebelum memulakan cabaran di peringkat saringan acara 400m pada Jumaat ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
UMAR gigih berlatih sebelum memulakan cabaran di peringkat saringan acara 400m pada Jumaat ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman mahu menutup tahun ini dengan kenangan manis di temasya Sukan Asia Hangzhou.

Umar, 20, sudah bersedia mengibarkan cabaran selepas menjalani latihan intensif selama 53 hari bersama jurulatihnya, Simon Lau di Singapura.

Selain itu, dia turut menerima bantuan psikologi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk kembali mendapatkan kekuatan dan semangat sebelum terbang ke Hangzhou, semalam.

"Sebelum ke sini, saya rasa sedikit 'down' kerana ada beberapa perkara yang menyebabkan saya tak fokus.

"Tapi perkara itu bukan penghalang untuk saya menyerlah. Ketika di Bukit Jalil, saya gunakan khidmat psikologi dari MSN untuk membantu bersemangat kembali.

"Kali ini saya sudah bersedia untuk menyahut cabaran dengan sasaran mara ke peringkat akhir acara 400m," katanya yang akan turun beraksi di peringkat saringan di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Jumaat ini.

Nama Umar mula meniti di bibir peminat olahraga apabila meraih pingat emas di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu dengan memecahkan rekod kebangsaan berusia 22 tahun.

Lariannya semakin pantas apabila memecahkan rekod sebanyak dua kali di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China, bulan lalu dengan rekod baru kebangsaan kini adalah 46.09 saat (s).

Katanya, sepanjang hampir tiga bulan berada di Singapura dia dapat menggunakan beberapa kemudahan termasuklah kemudahan biomekanik bagi ketahanan otot.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 9:27 PM