SIMONE ungguli Kejohanan Klasik AS selepas berehat dua tahun. -FOTO AFP
SIMONE ungguli Kejohanan Klasik AS selepas berehat dua tahun. -FOTO AFP
AFP

Hoffman Estates, Amerika Syarikat: Juara Olimpik empat kali, Simone Biles kembali cemerlang dalam gimnastik selepas berehat selama dua tahun apabila memenangi Kejohanan Klasik AS, pertandingan pertamanya sejak Sukan Olimpik Tokyo.

Simone menggembirakan penyokong dengan persembahan yang menakjubkan menerima markah keseluruhan dari juri sebanyak 59.100 mata.

"Rasanya sangat baik, terutamanya selepas semua yang berlaku sepanjang tahun lalu," kata Simone yang berkahwin awal tahun ini.

"Saya kembali ke sini dan saya melakukan apa yang saya latih jadi saya sangat gembira dengan hasilnya."

Juara dunia 19 kali itu memulakan aksi di palang tak sejajar di mana dia mempamerkan aksi mantapnya apabila meraih 14.000 mata, ketiga terbaik keseluruhan.

Bintang Amerika berusia 26 tahun selepas itu beralih ke acara palang imbangan meraih 14.800 mata, skor tertinggi dalam acara itu.

Simone beraksi dalam acara senaman lantai mendapat sorakan gemuruh dalam setiap aksinya dan pendaratan kemas yang luar biasa membawa kepada penamat yang mengagumkan apabila meraih catatan mata terbaik acara itu dengan 14.900 mata.

Dia menamatkan acara terakhir iaitu melombol dengan satu lagi persembahan epik, melonjak dirinya dengan begitu tinggi dan mendarat dengan baik, langsung tidak menunjukkan sebarang kelemahan biarpun berehat lama, meraih mata 15.400.

Leanne Wong, 19, menduduki tempat kedua, ketinggalan lima mata dengan 54.100, manakala Joscelyn Roberson yang berusia 17 tahun di tempat ketiga dengan 54.050.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 10:46 AM