BINTANG gimnastik Amerika Syarikat, Simone Biles ketika acara melombol di final berpasukan wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
BINTANG gimnastik Amerika Syarikat, Simone Biles ketika acara melombol di final berpasukan wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Penyertaan Simone Biles dalam baki saingan gimnastik di Tokyo 2020 menjadi teka-teki apabila dia menarik diri ketika pasukan Amerika Syarikat beraksi di final, hari ini, berikutan masalah kesihatan.

Bintang skuad AS itu menarik diri di final di Pusat Gimnastik Ariake selepas persembahan kurang bertenaga acara melombol apabila dia meninggalkan gelanggang sebelum muncul semula bersama rakan sepasukan.

Tetapi pasukan AS menggantikannya dengan gimnas lain untuk menamatkan tiga rutin iaitu palang bertingkat, batang titian dan lantai.

Satu kenyataan daripada Persekutuan Gimnastik AS menyatakan Biles mengalami masalah kesihatan dan kini akan menjalani pemeriksaan harian untuk menentukan sama ada boleh terus beraksi di Tokyo 2020.

"Simone menarik diri daripada acara akhir berpasukan kerana masalah kesihatan," menurut kenyataan itu kepada AFP.

"Dia akan dinilai setiap hari sebelum dibenarkan terus beraksi dalam kejohanan ini," katanya.

Susulan itu, Simone banyak menghabiskan hari dengan bersorak untuk rakan sepasukannya.

Pemenang empat pingat emas di Rio 2016 itu layak ke final semua empat acara, tetapi prestasinya di peringkat awal pada Ahad lalu dicemari beberapa kesalahan mudah.

Dalam catatannya di Instagram pada Isnin lalu, gimnas berusia 24 tahun itu menyatakan dia tertekan ketika peringkat kelayakan Ahad lalu.

"Saya merasakan seperti memikul beban dan berat satu dunia di atas bahu pada setiap masa," tulis Simone.

"Saya tahu perlu mengetepikannya dan membuatkan seolah-olah tekanan itu tidak memberikan kesan, tetapi ada masanya ia sukar...Olimpik bukan satu jenaka!".

Simone kini pada landasan menjadi wanita pertama dalam lebih setengah abad untuk mengekalkan gelaran dalam semua acara dan menyamai rekod gimnas Russia, Larisa Latynina yang menang sembilan emas Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 10:12 PM