MARCUS muncul pemain amatur lelaki pertama menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan. FOTO Ihsan Persatuan Golf Malaysia
MARCUS muncul pemain amatur lelaki pertama menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan. FOTO Ihsan Persatuan Golf Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain golf amatur negara, Marcus Lim muncul juara Kejohanan Piala Supra 2023 selepas menewaskan rakan senegara, Ervin Chang pada penentuan playoff di The Mines Resort & Golf Club, dekat sini, hari ini.

Penentuan playoff diadakan selepas kedua-dua pemain terikat dengan 206 pukulan selepas selesai tiga pusingan.

Pada saingan penentuan di lubang ke-18, Marcus tenang membenam par untuk merangkul kejuaraan, manakala Ervin mengutip dua bogey.

Keputusan dilakar pemain berusia 21 tahun itu menyaksikan dia muncul pemain amatur lelaki pertama menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan berkenaan.

Dia yang turut merangkul gelaran pemain amatur terbaik kejohanan, bagaimanapun, tidak membawa pulang hadiah wang tunai selaku juara berjumlah RM31,500 berikutan status amatur disandangnya.

"Sejujurnya, saya tidak bermain dengan hebat hari ini dan hanya bertahan sepanjang hari dengan melakukan beberapa pukulan birdie pada sembilan lubang kedua. Namun sangat gembira beraksi pada kejohanan ini yang disertai semua pemain terbaik negara.

"Melangkah ke lubang terakhir agak gementar terutamanya melakukan pukulan pertama tetapi saya gembira kerana dapat berjaya melakukannya," katanya kepada pemberita selepas tamat kejohanan itu.

Sementara itu dalam kategori wanita, Aretha Pan memenangi saingan dengan kelebihan tiga pukulan apabila mencatatkan jumlah keseluruhan 210 pukulan berbanding pencabar terdekat senegara, Geraldine Wong yang mencatat 213 pukulan pada saingan tiga pusingan itu.

Ia sekali gus melayakkan Aretha membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Tempat ketiga bagi kategori wanita diraih Michelle Koh yang mencatatkan keseluruhan 218 pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 8:37 PM