DARI kiri Liew Yaw Lian, David Tan, Atiruj, Mohd Azlan, Choy Thiam Hwa, Kee Tong dan Ken bergambar pada sesi penyampaian hadiah.
DARI kiri Liew Yaw Lian, David Tan, Atiruj, Mohd Azlan, Choy Thiam Hwa, Kee Tong dan Ken bergambar pada sesi penyampaian hadiah.

Subang: Bintang Thailand Atiruj Winaicharonechai muncul juara Kejohanan Golf Amatur MPI Generali-Saujana 2017 apabila tampil cemerlang dalam aksi playoff menentang pemain Taiwan Yi Tong Chen di Kelab Golf dan Country Saujana (SGCC), baru-baru ini.

Walaupun ketinggalan empat pukulan di belakang Tong Chen, Atiruj bangkit dengan catatan 72 pukulan pada hari terakhir sambil pemain Taiwan itu melakar 76 pukulan bagi berkongsi lima bawah par 211 keseluruhan.

Hasrat wakil Singapura Gregory Foo untuk turut serta dalam aksi playoff tidak menjadi apabila ketinggalan satu pukulan di belakang Atiruj dan Tong Chen meskipun mencuri tumpuan pada hari terakhir dengan 68 pukulan.

Wakil Malaysia Ervin Chang muncul pemain terbaik negara apabila menduduki tempat kelapan dengan 219 pukulan keseluruhan.

Dalam aksi playoff di lubang 18, pukulan ketiga Atiruj tersasar ke kanan green manakala bola Tong Chen mendarat di bunker.

Menyedari peluang kini berpihak kepadanya, Atiruj tenang membenam par untuk muncul juara.

“Kemenangan ini gelaran pertama saya di luar Thailand dan saya tidak sabar untuk beraksi dalam kalendar ADT,” kata pemain berusia 16 tahun itu.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi MPI Generali Mohd Azlan Mohammed bersama Pengerusi SGCC Choy Thiam Hwa dan Ngiam Kee Tong serta Ketua Pegawai Operasi MPI Generali Liew Yaw Lian, Ketua Pegawai Pengedaran MPI Generali David Tan dan Pengurus SGCC Ken Kudo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 9:13 AM