GALVEN Green (empat dari kiri) dan Aretha Pan (tiga dari kanan) serta Andrew Yap bersama hadiah kemenangan. FOTO MOHD AMIN JALIL
GALVEN Green (empat dari kiri) dan Aretha Pan (tiga dari kanan) serta Andrew Yap bersama hadiah kemenangan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Nilai: Pemain golf profesional negara, Galven Green teruja apabila berjaya menjulang kejuaraan pertama dalam kariernya selepas memenangi Alphard Cup 2023 yang berlangsung di Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGGC), semalam.

Kemenangan Galven bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila dia dipaksa untuk bermain play-off bersama Paul San selepas kedua-dua pemain terbabit terikat dengan sembilan di bawah par.

Namun ketenangan yang dipamerkan beliau menjadi pemisah apabila berjaya melakukan birdie pada lubang play-off untuk mengesahkan kejuaraan berkenaan.

Terdahulu, selepas tiga pusingan acara Jelajah Toyota kedua terakhir ini, Galven dan Paul San menduduki tempat teratas papan pendahulu dengan agregat sembilan bawah 207 dan kedua-dua pemain terbabit mencatat empat bawah 68.

"Apa yang saya boleh katakan mengenai permainan ini adalah saya bermain dengan cukup baik dan putting juga banyak membantu dalam mendapatkan skor rendah.

"Namun, saya tidak dapat nafikan yang Paul San turut bermain dengan baik namun pukulan kedua saya yang cukup baik memberi peluang untuk melakukan birdie sekali gus meraih kemenangan ini," katanya selepas kejayaan itu untuk menerima hadiah wang tunai RM31,500, semalam.

Sementara itu, Aretha Pan muncul juara bagi kategori wanita selepas menewaskan Genevieve Ling dalam penentuan play-off selepas kedua-dua pemain itu terikat dengan catatan empat atas par 220 pukulan.

Aretha berjaya membenam birdie pada lubang pertama untuk menewaskan Genevieve sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 2:50 PM