MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan sijil penghargaan kepada atlet golf negara yang memenangi pingat emas, Ervin Chang sambil diperhatikan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Anwar Mohd Nor (kanan) ketika majlis penghargaan Sukan Sea Hanoi 2021 di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan sijil penghargaan kepada atlet golf negara yang memenangi pingat emas, Ervin Chang sambil diperhatikan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Anwar Mohd Nor (kanan) ketika majlis penghargaan Sukan Sea Hanoi 2021 di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penyumbang pingat emas acara golf di temasya Sukan Sea Hanoi, Ervin Chang bersedia untuk mewakili negara ke temasya Olimpik Paris 2024 sekiranya berpeluang.

Kata Ervin ia adalah impian yang diinginkan oleh mereka yang bergelar atlet.

Namun Evin yang bertukar kepada status pemain profesional Jumaat lalu berkata, buat masa ini dia perlu memikirkan satu demi satu kejohanan terlebih dahulu dengan Olimpik tetap dalam radarnya.

"Bermain di Olimpik ada dalam sasaran saya.

"Sekiranya saya pergi dan meraih kedudukan ranking yang mencukupi untuk layak, seterusnya dapat wakil negara ke Olimpik tentulah saya dapat beraksi dengan pemain profesional di tahap tertinggi dan ia satu yang menarik.

"Tapi buat masa ini saya kena fikir satu demi satu dulu dan kejohanan terdekat terlebih dahulu," katanya.

Ervin mencipta sensasi di Sukan Sea Vietnam apabila berjaya menamatkan penantian 21 tahun Malaysia meraih pingat emas dalam acara golf di temasya dwi tahunan itu.

Kejayaan itu hadir selepas dia berjaya mengatasi pemain Indonesia, Amadeus Christian Susanto dalam aksi playoff tiga lubang.

Ervin tenang melakukan birdie di lubang tambahan ketiga di Heron Lake Golf Course and Resort untuk menjadi pemain Malaysia pertama muncul juara sejak pasukan lelaki dibarisi Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin memenanginya dalam acara berpasukan pada 2001 di Kuala Lumpur.

Turut membanggakan, skuad golf turut meraih satu lagi emas dalam acara berpasukan lelaki yang dibarisi Ervin, K Rhaasrikanesh dan Marcus Lim.

Skuad golf wanita turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila masing-masing meraih satu perak dan satu gangsa menerusi acara perseorangan wanita dan berpasukan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 6:39 PM