HARLEEIN beraksi cemerlang untuk muncul juara B-15 Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Belanda.
HARLEEIN beraksi cemerlang untuk muncul juara B-15 Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Belanda.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejayaan muncul juara Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Belanda bagi kategori Bawah 15 Tahun (B-15) meniup semangat Harleein Tan untuk mengorak langkah lebih jauh dalam sukan skuasy.

Gelaran itu menjadi tonik berharga buat Harleein, 13, untuk memburu lebih banyak kejuaraan selepas ini dan menjadi seperti jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David, satu hari nanti.

Harleein membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila menewaskan pilihan utama iaitu pemain tuan rumah, Renske Huntelaar 11-7, 7-11, 11-8, 7-11, 11-9 di separuh akhir.

Rentak kemenangan itu berterusan apabila menumpaskan pilihan kedua, Savannah Moxham dari Belgium 7-11, 11-5, 11-7, 11-4 pada perlawanan akhir.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Walaupun turun sebagai pilihan ketiga, saya melakukan sesuatu yang lebih baik apabila menewaskan pilihan utama di separuh akhir.

"Ia adalah perlawanan yang sukar dan selepas lima set, saya perlu mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Savannah dan saya pernah tewas di tangannya di Terbuka Remaja Eropah, sebelum ini.

"Sudah tentu ia misi membalas dendam yang manis untuk saya, tetapi sekarang saya akan kembali dan berlatih lebih gigih untuk kejohanan seterusnya iaitu Terbuka Remaja Hong Kong (1-5 Ogos) dan Remaja Asia di Dalian, China (16-20 Ogos)," katanya.

Sementara itu, kejayaan Harleein turut menjadi inspirasi kepada adiknya, Hisshan Nair Tan yang menduduki tempat keempat dalam kategori lelaki B-11.

Ia jelas permulaan baik untuk Hisshan terus mengukir nama dalam dunia skuasy negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 7:50 PM