Uqasha dan Kamal bersama anak mereka, Hawra Uqaira.
Uqasha dan Kamal bersama anak mereka, Hawra Uqaira.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pasangan selebriti popular, Kamal Adli dan Uqasha Senrose berkongsi nama puteri sulung mereka iaitu Hawra Uqaira yang kini berusia tiga minggu. 

Pendedahan eksklusif berkenaan dibuat pasangan terbabit menerusi program Oh Baby Kamal & Uqasha, pada hari ini. 

Kamal mendedahkan, nama Hawra dipilih kerana membawa erti yang suci seperti cantik, putih dan bersih manakala Uqasha pula memilih Uqaira. 

"Nama Hawra itu saya yang pilih, Uqasha ambil Uqaira… kita ambil seorang satu. Adil la, tak payah berebut. Hawra maksudnya putih, bersih, cantik," katanya. 

Uqasha pula berkata, nama Uqaira membawa maksud kebahagian, rezeki tanpa kepayahan, selain  ada makna harum dan wangi juga. 

"Uqaira maksudnya kebahagian, rezeki tanpa kepayahan, harum dan wangi," kata Uqasha ringkas. 

Tidak mahu meletakkan nama terlalu panjang, Kamal berkata semua orang kini memanggil anak mereka, Uqaira memandangkan sudah diumumkan terlebih dahulu kepada keluarga. 

"Ini yang mana, nama Uqaira sudah diumumkan terlebih dahulu. Maka, habis semua panggil Uqaira, dah tertinggal Hawra. Nama tak boleh panjang-panjang sangat. 

"Nanti di sekolah, panjang sangat nak tulis nama dia," kata Kamal lagi.

Menerusi program itu, turut dikongsikan detik Kamal menemani Uqasha di wad bersalin sebelum melahirkan cahaya mata pertama mereka. 

Paling teruja ketika detik Kamal, azan di telinga kanan anaknya kemudian memberikan semula bayi comel itu kepada Uqasha. 

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga  pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang, selain Uqasha juga sebelum ini pernah mendedahkan dia mengalami keguguran sebanyak dua kali.

Kali pertama Uqasha keguguran ketika dia mengerjakan ibadah umrah selepas beberapa bulan berkahwin dan yang kedua pula pada November 2022.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 2:46 PM