WEE Wern iringi Nicol ke suku akhir.
WEE Wern iringi Nicol ke suku akhir.

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita nombor dua negara, Low Wee Wern mara ke suku akhir kejohanan terbuka Windy City 2015 selepas bertarung lima set di Chicago, Amerika Syarikat, kelmarin.

Pemain berasal dari Pulau Pinang berusia 24 tahun itu mengalahkan pencabar veteran Rachael Grinham dari Australia, 7-11, 11-2, 3-11, 11-9, 11-6 dalam perlawanan lima set yang berlangsung 58 minit.

Wee Wern akan menemani ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang menempah tempat di suku akhir selepas mudah menewaskan pemain Mesir Heba El Torky 11-5, 11-4, 11-7 dalam tempoh 27 minit, Sabtu lalu.

“Saya gembira dengan kemenangan ke atas Rachael ini! Rachael bermain baik dan saya terpaksa bertahan sehingga ke akhir perlawanan.

“Akan menentang Raneem El Weleily dalam perlawanan suku akhir! Dua pemain Malaysia di suku akhir!,” kata Wee Wern dipetik dalam laman sosial Facebook miliknya.

Pilihan kedua kejohanan Raneem dari Mesir menewaskan rakan senegaranya Omneya Abdel Kawy 11-7, 7-11, 11-9, 11-8 untuk menempah di suku akhir.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:41 AM