Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David (gambar) memulakan kempen untuk kembali merebut takhta pemain nombor satu dunia pada Kejohanan Juara-Juara JP Morgan dengan langkah kanan apabila menewaskan pemain England Victoria Lust.

Selepas menutup musim 2015 dengan kejayaan merangkul kemenangan ke-10 berturut-turut pada Terbuka Hong Kong, Nicol tidak berdepan masalah apabila melakar kemenangan mudah menewaskan Victoria 11-2, 11-3, 11-2.

Bekas pemain nombor satu dunia yang berusaha untuk kembali menakluk dunia itu hanya memerlukan 25 minit untuk mara ke pusingan kedua dan akan bertemu lawan dari Hong Kong Annie Au.

“Sesuatu yang hebat dapat kembali ke New York untuk menyertai kejohanan ini. Ia satu tempat yang terhebat di dunia untuk bermain skuasy.

“Tidak ada cara yang lebih baik daripada memulakan tahun ini di sini terutama apabila kejohanan ini tidak membezakan hadiah kemenangan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita,” katanya.

Kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan AS$150,000 (RM663,000) itu menyaksikan seorang lagi wakil negara, Delia Arnold turut mara.

Delia menewaskan Rachael Grinham dari Australia 7-11, 13-11, 11-7, 11-6 dan akan bertemu pilihan keenam Alison Waters dari England awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 8:07 AM