HARLEEIN (depan dua dari kanan) bergambar kenangan bersama pemenang setiap kategori. — FOTO British Junior Open
HARLEEIN (depan dua dari kanan) bergambar kenangan bersama pemenang setiap kategori. — FOTO British Junior Open
BERNAMA

PEMAIN skuasy remaja kebangsaan Harleein Tan merangkul gelaran sulung pada peringkat antarabangsa musim ini apabila menjuarai kategori wanita bawah 11 tahun (B-11) kejohanan Terbuka Remaja British di Birmingham, England awal pagi tadi.

Pemain dari Negeri Sembilan berusia 10 tahun itu yang juga pilihan ketiga-keempat, menewaskan pilihan kedua, Mariam Eissa dari England apabila menang 11-6, 11-9, 12-10 pada final di gelanggang kaca University Birmingham.

Terdahulu, Harleein mengejutkan pemain pilihan utama, Jana Mohamed dari Mesir; 11-4, 11-5, 11-7 pada separuh akhir kelmarin.

Sementara itu, Aifa Azman gagal dalam percubaannya untuk merangkul gelaran Terbuka Remaja British kali keempat selepas kalah 7-11, 6-11, 14-16 di tangan pilihan utama Jana Shiha dari Mesir bagi kategori B-19.

Sebelum ini, Aifa meraih gelaran juara B-13 pada 2014, B-15 (2016) dan B-17 pada 2018.

Seorang lagi pemain remaja kebangsaan, Ishant Shah juga mengalami nasib sama apabila tewas 4-11, 2-11, 2-11 kepada pilihan utama, Sam Todd dari England bagi kategori lelaki B-17.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 5:44 PM