Insiden serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat menyebabkan 23 anggota dan orang awam cedera. Gambar ihsan Polis Johor
Insiden serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat menyebabkan 23 anggota dan orang awam cedera. Gambar ihsan Polis Johor
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi semalam mengimbau kembali sejarah hitam bagi waris mangsa tragedi berdarah di Balai Polis Batu Pahat, 44 tahun lalu.

Serangan yang didalangi pengikut ajaran sesat dipimpin Mohd Nasir Ismail pada jam 9.30 pagi, 16 Oktober 1980 itu menyebabkan 23 anggota polis dan orang awam cedera termasuk putus jari dan pergelangan tangan.

Insiden itu sekali gus mengingatkan Nurul Asia, 37, terhadap kisah ayahnya, Allahyarham Masood Hamid salah seorang mangsa serangan di Balai Polis Batu Pahat itu hingga meninggalkan kesan parut berbentuk huruf U pada lengan kanannya.

Menurutnya, melalui penceritaan ayahnya ketika itu, serangan berlaku ketika arwah ayahnya didatangi sekumpulan lelaki bersenjata termasuk pedang ketika bertugas.

"Ketika itu, salah seorang daripada mereka melibas pedang dan mengena lengan ayah menyebabkan dia cedera parah dan terpaksa berpura-pura mati kerana bimbang nyawanya melayang.

"Ayah tidak pernah menceritakan kejadian itu sehinggalah dia pencen. Saya hanya tahu bila ternampak kesan parut dan dari situlah ayah mula membuka mulut," katanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata insiden di Balai Polis Ulu Tiram mengingatkan kembali kejadian menimpa arwah ayahnya walaupun sudah berpuluh tahun berlaku.

"Arwah emak (Jamaiah Ahmad) antara yang paling risau kerana suaminya adalah salah seorang mangsa.

"Emak hanya suri rumah dan ketika kejadian dia berada rumah menjaga adik beradik kami, fikirannya berkecamuk memikirkan sama ada ayah masih hidup atau tidak," katanya.

Tidak lama selepas kejadian itu, Nurul Asia memberitahu mereka sekeluarga berpindah ke Kluang sebelum arwah ayahnya bersara.

Ditanya sama ada keluarganya masih menyimpan marah atau dendam atas kejadian itu, dia berkata, mereka berserah pada Allah.

"Lagipun pelakunya sudah menerima hukuman jadi, kami tidak mahu lagi mengungkit kisah lama. Kita hendak nilai seseorang bukan senang, mungkin mereka tersilap memilih jalan lain (sesat) hingga tercetus kejadian seperti ini," katanya.

Selain menyerang Balai Polis Batu Pahat, kumpulan terbabit menuju ke arah Pejabat Kadi dan Pejabat Majistret untuk melakukan serangan seterusnya.

Mahkamah Batu Pahat pada ketika itu berkongsi bangunan dengan Pejabat Kadi, sedang bersidang sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dan laungan takbir dari luar mahkamah.

Dalam kejadian itu, enam daripada 15 pengikut ajaran sesat itu ditembak mati.

Manakala dalam insiden 2.45 pagi semalam, tiga maut iaitu dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek berusia 21 tahun. Sementara Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 2:31 PM