EAIN Yow  (kiri) menentang Ivan Yuen  pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia. -Foto HAFIZ SOHAIMI
EAIN Yow (kiri) menentang Ivan Yuen pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia. -Foto HAFIZ SOHAIMI
Aida Adilah Mat


PEMAIN muda negara, Ng Eain Yow melakar kejutan terbesar dalam kariernya apabila mara ke final Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Arena Nicol David, Bukit Jalil sebentar tadi.

Eain Yow sekali lagi membuktikan ranking bukan penentu kepada kejayaan seorang pemain apabila menewaskan rakan senegara, Ivan Yuen yang juga pilihan keempat kejohanan dalam pertarungan sengit yang berkesudahan 11-9, 8-11, 7-11, 11-9, 12-10.

Kejayaan itu juga secara tidak langsung mengubat kekecewaan kegagalannya di beberapa kejohanan sebelum ini.

“Tewas di separuh akhir Sukan SEA dalam acara berpasukan, tewas di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia selepas bergelar juara dunia amat mengecewakan.

“Kejayaan ini mengembalikan semula semangat saya untuk memburu kedudukan yang lebih baik dalam ranking dunia,” katanya.

Menurut Eain Yow, dia bersama jurulatih Andrew Cross berusaha keras memperbaiki kelemahan kerana yakin mampu beraksi lebih baik.

Menduduki ranking ke-77, kejayaan mara ke final sekurang-kurangnya mampu memperbaiki kedudukan ranking terkininya dalam senarai Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara individu lelaki itu akan bertemu Leo Au dari Hong Kong yang menewaskan Mazen Hesham 7-11, 11-5, 11-7, 7-11, 11-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kali terakhir Eain Yow bertemu Leo Au yang juga juara Asia 2016 itu di Kejohanan Skuasy Asia April lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada lawan.

Mengulas mengenai lawannya itu, Eain Yow berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana dia bermain tanpa tekanan, cuma berharap akan terus fokus dan memberi aksi lebih baik berbanding prestasi di separuh akhir.

Andai menang ia adalah kejayaan pertama Eain Yow dalam siri Jelajah PSA yang menawarkan hadiah wang tunai AS$15,000 (RM63,397).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 8:55 PM