AKSI Ivan Yuen-Rachel Arnold final Kejohanan Beregu Campuran Asia. -FOTO SRAM
AKSI Ivan Yuen-Rachel Arnold final Kejohanan Beregu Campuran Asia. -FOTO SRAM
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tetap berpuas hati dengan pencapaian barisan pemain negara pada Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023 di Hangzhou, China yang berakhir semalam selepas meraih satu perak dan gangsa.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam mengakui ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh barisan pemain negara dalam menghadapi kejohanan selepas ini terutamanya Sukan Asia yang turut berlangsung di Hangzhou, September depan.

Beregu campuran negara, Ivan Yuen-Rachel Arnold, terpaksa berpuas hati bergelar naib juara selepas tewas 0-2 kepada gandingan India, Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal 10-11, 8-11, semalam.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman, meraih gangsa selepas menewaskan gandingan India, Abhay Singh-Anahat Singh dengan keputusan 11-8 dan 11-10 bagi aksi penentuan tempat ketiga.

"Secara keseluruhan, pemain sudah melakukan yang terbaik. Kami pulang dengan meraih satu perak dan gangsa. Pada perlawanan penentuan tempat ketiga, Syafiq-Aifa dapat menewaskan gandingan India.

"Pada aksi final pula (Ivan Yuen-Rachel Arnold), perlawanan sangat sengit. Ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Kami akan melihat prestasi setiap pemain menerusi ulang tayang video dan daripada situ, kami dapat kenal pasti kelemahan dan memperbaikinya," katanya.

Jelas Maniam, barisan pemain negara akan meneruskan fokus kepada saingan seterusnya iaitu Kejohanan Jemputan Beregu yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah bermula 19 hingga 22 Julai ini.

"Ada beberapa negara sudah menyatakan minat untuk menyertainya termasuklah Hong Kong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:56 PM