ANTARA aksi Aifa Azman (kiri) dan Shafiq Kamal. FOTO SRAM
ANTARA aksi Aifa Azman (kiri) dan Shafiq Kamal. FOTO SRAM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Tiga pasangan beregu campuran skuasy negara, berjaya mengesahkan slot ke suku akhir Kejohanan Beregu Campuran di China yang juga medan persiapan Sukan Asia, September depan.

Dua gandingan Shafiq Kamal-Aifa Azman yang diletak sebagai pilihan utama dan Ivan Yuen-Rachel Arnold pilihan kedua, sudah mengesahkan tempat di suku akhir, selepas masing-masing memenangi dua perlawanan di peringkat kumpulan.

Syafiq-Aifa muncul juara Kumpulan A, selepas mengatasi gandingan Filipina, Yvonne Alyssa-David William 11-4, 11-7 serta menang ke atas gandingan Korea Selatan, Lee Ji Hyun-Na Jooyoung 11-0, 11-4.

"Sangat gembira kerana terus layak ke suku akhir esok, dan hari ini kami mempunyai rehat yang cukup untuk bersedia menghadapi saingan suku akhir," kata Aifa.

Sementara itu, Ivan-Rachel turut mara ke suku akhir selepas mencapai dua kemenangan dalam Kumpulan B.

Mereka mengatasi gandingan China, Li Dongjin-Zhou Zhitao 11-4, 11-5 dan mendapat kemenangan percuma ke atas pasangan Singapura, Sammy Ong-Timothy Leong.

Dalam pada itu, satu lagi pasangan, Addeen Idrakie Bahtiar-Noor Ainaa Amani Ampandi perlu menunggu perlawanan ketiga kumpulan sebelum disahkan sebagai juara Kumpulan F.

Gandingan itu sudah memenangi dua perlawanan, mengatasi Gracia Chua-Jerome Aw dari Singapura, 11-7, 11-3, dan menang ke atas gandingan Hong Kong, Cheng Nga Ching-Mathew Lai, 11-7, 11-3.

Semua juara kumpulan akan terus layak ke suku akhir dan lawan hanya ditentukan menerusi undian.

Kejohanan beregu campuran ini menjadi medan persiapan buat semua negara, apabila acara beregu campuran diperkenal buat kali pertama dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 3:57 PM