AIFA (kiri) dan Sayfiq ketika bertemu pasangan Hong Kong. FOTO asiansquash
AIFA (kiri) dan Sayfiq ketika bertemu pasangan Hong Kong. FOTO asiansquash
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua beregu campuran skuasy negara berhasil menempah tiket aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023 di Hangzhou, China hari ini.

Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman mendominasi perlawanan dengan masing-masing menundukkan pasangan Hong Kong, Tang Ming Hong-Tong Tsz Wing 11-7 dan 11-1 sementara Ivan Yuen-Rachel Arnold menewaskan Matthew Lai-Cheng Nga Ching 11-3 dan 11-7 pada aksi suku akhir di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu.

Hasrat untuk melihat satu lagi pasangan negara mengiringi kemaraan kedua-dua gandingan itu bagaimanapun tidak kesampaian selepas Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Noor Ainaa Amani Ampandi disekat pasangan India, Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal 3-11 dan 4-11.

Keputusan diraih kem skuasy negara hari ini menyaksikan Syafiq-Aifa akan berdepan Harinder-Dipika (India) sementara Ivan-Rachel akan bertemu Abhay Singh-Anahat Singh (India) di pusingan separuh akhir esok.

"Kedua-dua aksi separuh akhir esok menyaksikan Malaysia menentang India. Sememangnya kami berharap memperoleh keputusan yang baik," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S. Maniam menerusi rakaman audio yang dikongsikan kepada media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 9:02 PM