PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari tidak dapat bersama pasukan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 akibat terbabit kemalangan. FOTO ARKIB NSTP
PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari tidak dapat bersama pasukan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 akibat terbabit kemalangan. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memutuskan tidak menyenaraikan pemain baharu ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan S Sivasangari yang terbabit kemalangan, Ahad lalu.

Sebaliknya, SRAM memutuskan untuk melakukan rombakan gandingan pemain dalam barisan pemain negara.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam dalam satu kenyataan memaklumkan, Rachel Arnold yang sepatutnya bergandingan dengan Sivasangari kini akan berpasangan dengan Aifa Azman dalam acara beregu wanita.

"Memandangkan kemalangan menimpa Sivasangari dan ketidakupayaannya untuk bermain di Sukan Komanwel, SRAM membuat keputusan untuk melakukan rombakan.

"Jawatankuasa memutuskan tiada tambahan pemain, sebaliknya hanya rombakan pemain dilakukan apabila Aifa akan menggantikan kekosongan Sivasangari dalam acara beregu wanita.

"Tempat Aifa dalam acara beregu campuran digantikan oleh Noor Ainaa Amani Ampandi yang akan bergandingan dengan Addeen Idrakie.

"Syafiq Kamal pula akan terus bermain dalam acara perseorangan. Addeen Idrakie yang yang sepatutnya bergandingan bersama Ong Sai Hung dalam beregu lelaki kini akan bermain acara beregu campuran bersama Ainaa," katanya.

Sivasangari, juara Kejohanan Skuasy Kebangsaan ke-37, sedang bercuti semester dari Universiti Cornell di Amerika Syarikat (AS) dan menjadi sandaran emas negara dalam acara beregu, selain harapan dalam perseorangan wanita di Birmingham 2022.

Sivasangari cedera di kepala apabila terbabit dengan kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada 3.46 pagi Ahad lalu.

Sementara itu, ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri, antara nama disebut-sebut sebagai pembawa Jalur Gemilang di Birmingham 2022 bagi menggantikan Sivasangari.

Bagaimanapun, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam masa terdekat sebelum tarikh akhir ditetapkan pada 15 Julai depan.

SKUAD SKUASY NEGARA

Perseorangan lelaki

Ng Eain Yow

Ivan Yuen

Syafiq Kamal

Beregu lelaki

Ng Eain Yow-Ivan Yuen

Syafiq Kamal-Ong Sai Hung

Perseorangan wanita

Aifa Azman

Rachel Arnold

Chan Yiwen

Beregu wanita

Aifa Azman-Rachel Arnold

Chan Yiwen-Noor Ainaa Amani Ampandi

Beregu campuran

Addeen Idrakie-Noor Ainaa Amani Ampandi

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 7:20 PM