YIAT Qing yang meraih emas di Kemboja baru berusia 15 tahun.
YIAT Qing yang meraih emas di Kemboja baru berusia 15 tahun.
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Persembahan cemerlang ditampilkan penerjun muda negara di pentas Sukan Sea Kemboja 2023 dijangka mencetuskan persaingan sengit dengan atlet senior dalam perebutan tiket ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS), Mae Chen memaklumkan peluang terbuka kepada semua atlet untuk merebut slot ke temasya terbesar itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kelayakan itu bergantung kepada pencapaian mereka di Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Fukuoka, Jepun pada Julai depan.

"Ia bergantung kepada apa yang berlaku di Kejohanan Dunia nanti. Bagi kami, anda boleh lihat Sukan Sea bagaimana persembahan dan kekuatan mental mereka.

"Kami memiliki penerjun muda yang kuat mental seperti Enrique Maccartney Harold serta Lee Yiat Qing yang mempunyai kemampuan melakukan terjunan sempurna.

"Semua (persaingan kelayakan ke Olimpik) masih terbuka dan kami memang berharap lebih ramai atlet yang layak," katanya.

Enrique yang menyumbang pingat emas kepada skuad terjun negara di Sukan Sea Kemboja dalam acara platform lelaki turut memberi bayangan dia sedia bersaing dengan penerjun senior untuk menggapai impiannya beraksi di Sukan Olimpik.

Selain Enrique, skuad terjun negara turut meraih pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita menerusi Kimberly Bong Qiang Ping sebelum Muhammad Syafiq Puteh menyumbang emas kedua dalam kategori lelaki manakala Yiat Qing yang baru berusia 15 tahun mengungguli acara platform wanita.

Pencapaian itu menyaksikan skuad terjun negara yang menampilkan penerjun muda meneruskan dominasi di Sukan Sea apabila menutup saingan di Pusat Akuatik Morodok Techo, semalam dengan menyapu bersih semua empat pingat emas yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 3:38 PM