Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Penerjun negara, Enrique Maccartney Anak Harold membantu skuad negara menutup acara terjun Sukan Sea Kemboja 2023, hari ini dengan penuh bergaya apabila menyapu bersih semua empat pingat emas dipertandingkan.

Enrique melakukan terjunan emas dalam acara platform lelaki dengan mengumpul mata keseluruhan 442.95, mengatasi rakan senegara Bertrand Rhodict Anak Lises (384) yang meraih perak manakala atlet penerjun Singapura, Max Lee Shen Oon (362.8) memenangi gangsa.

Atlet muda berusia 20 tahun itu menjelaskan kejayaan manis meraih emas pada penampilan pertama di Sukan Sea meningkatkan semangatnya untuk merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.

"Saya hanya menikmati pertandingan dan saya fikir untuk buat yang terbaik buat pasukan. Selepas ini kami akan hadapi kejohanan dunia dan Sukan Asia. Saya akan cuba dapatkan pingat di kejohanan dunia yang mana di kejohanan dunia dan Sukan Asia nanti kami ada dua acara seirama dan individu.

"Ya, saya akan sasar untuk ke Paris dengan kelayakan pada kejohanan dunia di Jepun, Julai depan. Ia memang susah, tetapi saya akan cuba untuk bersaing dan mendapatkan tempat ke Paris," kata Enrique.

ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh (kanan) memenangi pingat emas manakala Gabriel Gilbert Daim memenangi gangsa 3m papan anjal.
ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh (kanan) memenangi pingat emas manakala Gabriel Gilbert Daim memenangi gangsa 3m papan anjal.

Terdahulu, skuad terjun negara membuka aksi di Sukan Sea Kemboja dengan langkah kanan apabila meraih pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita menerusi Kimberly Bong Qiang Ping sebelum Muhammad Syafiq Puteh menyumbang emas kedua dalam kategori lelaki.

Penguasaan skuad negara di Pusat Akuatik Morodok Tech, di sini, diteruskan dengan aksi memukau penerjun cilik berusia 15 tahun, Lee Yiat Qing dalam acara platform wanita, semalam.

Selain empat emas, Malaysia turut membawa pulang dua perak menerusi Gabriel Gilbert Daim dan Bertrand serta satu gangsa daripada Ong Ker Ying dari temasya kali ini.

Pencapaian cemerlang itu turut menyaksikan skuad terjun negara mengulangi pencapaian cemerlang pada Sukan Sea Vietnam tahun lalu dengan menyapu bersih semua lapan pingat emas yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 4:33 PM