NUR Assyira berjaya menyumbangkan perak dalam acara individu MTB. FOTO Ihsan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia
NUR Assyira berjaya menyumbangkan perak dalam acara individu MTB. FOTO Ihsan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia
Syazwan Msar


Phnom Penh: Faktor luaran termasuklah isu gangguan seksual yang melanda kem berbasikal bukit (MTB) sebelum ini bukanlah punca utama wakil negara terlepas peluang untuk mengekalkan pingat emas yang dimenangi mereka pada temasya Sukan Sea di Hanoi tahun lalu.

Wakil negara yang terdiri daripada Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon terpaksa menerima terlepas peluang mengekalkan pingat emas dimenangi mereka dalam acara berganti-ganti rentas desa campuran.

Pada perlumbaan yang berlangsung Kulen Mountain, Siem Reap itu menyaksikan Malaysia mengakhiri perlumbaan di tempat keempat dengan merekodkan 53 minit 21 saat.

Keputusan itu jelas mengecewakan skuad MTB negara yang sebenarnya meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang emas dalam acara terbabit apabila mengekalkan pelumba sama yang pernah memenangi emas di Hanoi.

Pengurus pasukan skuad MTB Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, mereka tidak melihat isu yang terpalit sebelum ini menjejaskan prestasi atlet hingga terlepas peluang mengekalkan pingat emas yang dimenangi mereka.

Katanya, atlet sudah membuat persiapan rapi dengan menjalani latihan namun mereka kurang bernasib baik sekali gus terlepas sasaran untuk membawa pulang pingat emas.

"Saya bertanggungjawab dengan prestasi pasukan negara kerana sememangnya meletakkan sasaran untuk mendapat emas dalam acara berganti-ganti rentas desa campuran berdasarkan kepada prestasi mereka ketika ini.

"Faktor luaran seperti isu gangguan seksual tidak menjadi masalah kepada mereka. Saya sentiasa memantau atlet MTB terutamanya tidak boleh berhubung dengan pihak lain supaya tidak mengganggu tumpuan mereka.

"Cuaca yang terlalu panas juga sebenarnya tidak mengganggu tumpuan atlet. Apa yang boleh kita lakukan adalah kenal pasti kelemahan untuk diperbaiki lagi," katanya.

Pada perlumbaan terbabit menyaksikan pingat emas milik Indonesia yang mempertaruhkan Zaenal Fanani, Feri Yudoyono, Dara Latifah dan Sayu Bella Sukma Dewi sekali gus mengakhiri perlumbaan dengan catatan masa 50 minit 11 saat.

Pingat perak pula menjadi milik Thailand yang diterajui Keerati Sukprasart, Phunsiri Sirimongkhon, Supuksorn Nuntana dan Warinthorn Phetraphan (51:44saat) manakala gandingan Edmhel John Rivera Flores, Shagne Paula Hermosilla Yaoyao, Jerico Cruz Rivera dan Ariana Thea Patrice Evangelista menghadiahkan gangsa buat Filipina(52:25saat).

Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan pelumba wanita negara yang mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri kembali menjalani latihan.

Mangsa adalah pelumba wanita berumur 20-an dan juga pemenang pingat pada Sukan Sea di Hanoi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:04 PM