AKSI Fu Kang dalam acara renang kuak dada 50m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Foto fail
AKSI Fu Kang dalam acara renang kuak dada 50m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Foto fail
Mohd Khairie Khalid


ATLET kebangsaan Wong Fu Kang tidak mengambil mudah cabaran pesaing-pesaingnya di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 walaupun dia turun sebagai perenang pilihan di temasya berkenaan.

Pemenang dua pingat emas menerusi acara 100 meter (m) kuak dada lelaki dan 4x100m rampaian berganti-ganti (4x100m medley relay) itu menyifatkan semua atlet menjalani latihan keras sebelum menyertai sesuatu kejohanan dan berupaya memberi saingan untuk memenangi pingat.

“Saya rasa bangga kerana dapat mewakili Universiti Taylor dan memenangi dua pingat emas hari ini. Saya meletakkan sasaran untuk merangkul enam pingat emas sepanjang SUKIPT kali ini,” kata Fu Kang.

“Tetapi saya tidak boleh menganggap SUKIPT ini mudah kerana semua atlet menjalani latihan yang kuat. Bagi saya temasya ini adalah sebagai pemanas badan untuk perlumbaan lebih besar selepas ini.”

Selain memenangi pingat emas, atlet berusia 19 tahun itu juga turut memecahkan rekod kejohanan dalam kedua-dua acara dimenangi pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil itu.

Bagi acara 100m kuak dada lelaki, Fu Kang mencatatkan masa 1 minit 04.47, sekali gus memadamkan rekod lama milik Shuan Yap Kah Choon dari Help University (1:04.77) yang dicipta pada edisi 2014.

Kepantasan Fu Kang turut membantu rakan sepasukan mencatat rekod kejohanan baru 4 minit 0.52 saat sekali gus memadamkan rekod lama 4:03.73 milik gandingan perenang Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam perkembangan lain, atlet dari Johor itu berkata dia ketika ini sedang berusaha keras bagi memastikan dirinya layak menyertai Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia.

Acara renang yang masuk hari kedua hari ini menawarkan 14 pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 7:24 PM