NUR Assyira (dua dari kiri) raih emas di Hanoi.
NUR Assyira (dua dari kiri) raih emas di Hanoi.
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Kerajaan Perak akan memberikan insentif kepada atlet negeri itu yang berjaya memenangi pingat ketika mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan Sea Hanoi 2021 di Vietnam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata penyumbang pingat emas individu akan menerima RM2,000 manakala berpasukan sebanyak RM1,250.

Katanya, bagi pemenang pingat perak akan menerima sebanyak R1,500 untuk individu dan RM1,00 bagi berpasukan manakala pingat gangsa mendapat RM1,000 dan berpasukan sebanyak RM750.

"Kerajaan negeri merakamkan tahniah kepada atlet dari negeri ini yang berjaya menyumbang pingat pada Sukan Sea seperti pelumba berbasikal bukit (MTB), Nur Assyira Zainal Abidin yang memenangi emas (dalam rentas desa Olimpik berganti-ganti campuran) bersama pasukannya.

"Selain itu, Azeem (Muhammad Azeem Fahmi) yang meraih perak dalam kuartet 4x100 meter.

Ada beberapa nama lagi dan keseluruhan atlet Perak yang terbabit menyumbangkan pingat kita akan bagi insentif," katanya pada program ramah mesra bersama Persatuan Pegawai-pegawai Penerangan Daerah dan Negeri Perak di Pejabat Penerangan Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Khairul Shahril berkata insentif berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada atlet dari negeri ini yang beraksi cemerlang pada temasya sukan itu.

Katanya, kejayaan Nur Assyira yang juga jurulatih berbasikal Perak adalah satu kejutan cukup besar dan yakin ia akan menjadi inspirasi kepada atlet muda negeri ini dalam mengharungi Sukan Malaysia (SUKMA) tidak lama lagi.

"Dalam tempoh melatih (atlet) dia turut sama berlatih. Dia ke Sukan SEA atas tiket kategori B, di mana ia di atas perbelanjaan sendiri. Kerajaan negeri ada membantu RM5,000 yang diberikan kepada pihak berkaitan untuk menguruskan urusannya di sana.

"Assyira menunjukkan keupayaannya dengan membawa pingat perak untuk acara individu dan emas bagi berpasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 10:14 PM