AZEEM raih tempat keempat dengan catatan 6.70s. -FOTO Facebook
AZEEM raih tempat keempat dengan catatan 6.70s. -FOTO Facebook
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh lari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi meraih tempat keempat dalam acara 60 meter (m) di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC, awal pagi tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Trek Tertutup Tyson di Fayetteville, Amerika Syarikat, Azeem yang mewakili Universiti Auburn menamatkan perlumbaan dengan catatan 6.70 saat (s) sama seperti yang dilakukannya ketika sesi kelayakan sebelum ini.

Rakan sepasukannya, Favour Ashe memenangi saingan berkenaan dengan 6.52s manakala Jordan Anthony (Kentucky) berada di tempat kedua, 6.57s diikuti Godson Oghenebrume (LSU) ketiga, 6.64s.

Meskipun berada dalam kelompok lima terbaik daripada lapan pelari di pentas final, Azeem nyata masih belum berpuashati dengan lariannya itu apatah lagi selepas berjaya meleburkan rekod kebangsaan 60m dalam dewan dua kali sebelum ini.

"Bukan hari saya. Perlu kembali berlatih semula selepas ini.

"Dan itu penutup untuk musim dalam dewan. Jumpa anda kejohanan luar"tulis Azeem dalam ciapannya di Twitter.

Sebelum ini Azeem mencipta sensasi apabila berjaya memecahkan rekod 24 tahun milik Watson Nyambek dalam acara 60 m selepas menamatkan perlumbaan dengan catata masa 6.63s ketika Kejohanan Texas Tech Open & Multi di Texas, hujung bulan lalu.

Azeem yang berasal dari Perak kemudiannya terus cemerlang apabila berjaya memperbaiki catatan berkenaan dengan merekodkan 6.62s ketika menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina, 11 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 11:55 AM