AZEEM akan menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya. FOTO Instgram azeemf
AZEEM akan menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya. FOTO Instgram azeemf
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sensasi pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memperoleh semangat tambahan menjelang Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini apabila jurulatihnya, Ken Harnden turut hadir ke kejohanan berkenaan.

Menurut Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pihaknya akan menerbangkan Harnden dari Amerika Syarikat (AS) bagi membantu Azeem dalam usaha pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu meraih keputusan cemerlang di Pattaya.

"Harnden akan terus ke Pattaya pada 9 Julai manakala Azeem pula akan tiba bersama atlet olahraga negara yang lain pada 10 Julai," kata Jefri.

Harnden, 50, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1998 bagi acara 400m adalah individu yang bertanggungjawab membimbing Azeem di Universiti Auburn di AS.

"Ini sememangnya perancangan sudah disusun sebelum ini oleh MSN untuk Azeem. Kami berharap dengan kehadiran jurulatihnya dari AS, ia dapat membantu Azeem untuk meraih keputusan positif pada Kejohanan Asia nanti," katanya.

Sejak berada di bawah bimbingan Harnden awal tahun ini, Azeem mempamerkan peningkatan prestasi terpuji apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut 60m dalam dewan iaitu di Kejohanan 2023 Texas Tech Open dan Kejohanan Tiger Paw Invitational, Carolina Selatan dengan catatan masa 6.62 saat (s) untuk memadamkan rekod miliknya 6.63s.

Dia juga mencatatkan masa terpantas iaitu 10.04s di Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 di Florida, namun rekod itu tidak diiktiraf kerana terdapat bantuan angin.

Azeem berpotensi menaiki podium di Kejohanan Asia kali ini berdasarkan rekod ranking 100m Asia 2022 yang menyaksikan dia berada di kedudukan kelima.

Ia berdasarkan catatan rekod kebangsaan 10.09s yang dilakukannya ketika Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.

Yupun Abeykoon dari Sri Lanka memegang status nombor satu Asia tahun lalu dengan catatan 9.96s, manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua, 9.98s.

Seorang lagi atlet Jepun, Ryuichiro Sakai berada di kedudukan ketiga, dengan catatan 10.02s.

Di Pattaya, Azeem akan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 3:51 PM