AZEEM cemerlang lakar nama di AS. -FOTO Instagram
AZEEM cemerlang lakar nama di AS. -FOTO Instagram

Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mencipta nama di bumi Amerika Syarikat (AS).

Pelari berusia 19 tahun itu membantu kuartet 4x100 meter (m) lelaki Universiti Auburn memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Jemputan Tom Jones Memorial 2024 di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Kuartet berkenaan yang turut dibarisi Favour Ashe, Dario Matau dan Kanyinsola Ajayi cemerlang apabila mencatat masa terpantas 38.64 saat (s) yang juga catatan semusim terbaik untuk menduduki tempat pertama.

Rangkaian pelari Louisiana State University (LSU) yang terdiri daripada Myles Thomas, Shakeem McKay, Da'Marcus Fleming dan Godson Oghenebrume berada di tempat kedua dengan catatan 38.93s.

Tempat ketiga menjadi miliki kuartet University of Kentucky yang dibarisi Shavique Bascus, Clinton Muunga, Miles Jones, Kennedy Lightner dengan catatan 38.96s.

Pada 17 Mac lalu, Azeem turut membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn meraih emas di Kejohanan Olahraga Yellow Jacket Invite di Georgia Tech, Atlanta dengan catatan masa 38.74s.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Azeem dalam acara 100m di Florida apabila menamatkan saringan dua di tempat ketujuh dengan catatan 10.44s sekali gus berada di kedudukan ke-22 secara keseluruhan dalam kalangan 75 peserta.

Keputusan itu menyaksikan Azeem terpaksa menunggu lagi untuk mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 kerana dia perlu melepasi had kelayakan 10s.

Pada Kejohanan Olahraga Yellow Jacket, Azeem berjaya meraih gangsa dengan catatan 10.38s.

Sebagai rekod, catatan peribadi terbaik Azeem adalah 10.09s yang juga rekod kebangsaan ketika melakukannya pada Ogos 2022 di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 2:06 PM