AZEEM (kiri) ketika bertemu Hannah. FOTO Twitter Hannah Yeoh
AZEEM (kiri) ketika bertemu Hannah. FOTO Twitter Hannah Yeoh
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh lari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menyasarkan untuk berada di kelompok tiga terbaik dalam acara 100 meter (m) apabila turun bertanding di semua kejohanan dekat benua Asia tahun ini.

Hasrat itu disuarakan sendiri Muhammad Azeem dalam pertemuannya bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Putrajaya.

"Impian saya tahun ini saya nak berada di kedudukan tiga terbaik setiap kali menyertai kejohanan di Asia. Ketika ini saya berada di ranking keempat Asia bagi kategori senior," katanya.

Untuk rekod, pada tahun ini Azeem berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut 60 meter (m) lelaki dalam dewan iaitu pada kejohanan 2023 Texas Tech Open dan kejohanan Tiger Paw Invitational, South Carolina dengan catatan masa 6.62 saat (s) sekali gus memadamkan rekod miliknya 6.63s.

Selepas itu Azeem turut berjaya mencatatkan masa terpantas iaitu 10.04s pada Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 di Florida, Amerika Syarikat (AS), namun rekod itu tidak diiktiraf kerana terdapat bantuan angin.

Sementar itu, Hannah dalam ciapannya di Twitter turut mengucapkan selamat maju jaya buat pemegang rekod kebangsaan acara 100m itu apabila turun bertanding di kejohanan trek dan Balapan Asia yang bakal berlangsung di Pattaya, Thailand bulan depan.

"Saya telah bertemu dengan @_azeemf dan mendengar sendiri perkembangan latihan beliau di Amerika Syarikat.

"Semoga Azeem terus cemerlang di Kejohanan 2023 Asian Athletics Championships di Thailand nanti," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:30 PM