AZEEM kini menimba ilmu di Amerika Syarikat.
AZEEM kini menimba ilmu di Amerika Syarikat.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berada dalam landasan tepat untuk merekodkan masa 6.50 saat (s) bagi acara 60 meter (m) pada masa depan.

Keyakinan itu diungkapkan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berdasarkan momentum dimiliki jaguh pecut berusia 18 tahun itu yang mempamerkan larian menakjubkan dengan catatan 6.62s pada kejohanan Tiger Paw Invitational, Jumaat lalu, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri.

Saingan final di Universiti Clemson, South Carolina itu menyaksikan Muhammad Azeem yang mewakili Universiti Auburn mencatat 6.62s dan menamatkan saingan di tempat kelima, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 6.63s pada kejohanan 2023 Texas Tech Open, bulan lalu.

Nazmizan berkata, atlet dari Perak itu boleh dianggap bertuah kerana penyertaannya dalam banyak kejohanan di Amerika Syarikat (AS) secara tidak langsung dapat membantunya meningkatkan prestasi larian.

"Saya tak terkejut (catatan 6.50s) kerana Muhammad Azeem sudah ada momentum serta tahap keyakinannya semakin tinggi selepas pecah rekod kebangsaan dalam masa dua minggu di AS.

"Di AS, sistem pertandingan mereka banyak dan hampir setiap minggu ada, jadi ini peluangnya untuk perbaiki kelemahan dan gilap lariannya lebih baik lagi," katanya.

Memandangkan Muhammad Azeem menghasilkan pencapaian membanggakan baru-baru ini, Nazmizan berkata, semua peminat sukan tanah air pastinya ternanti-nanti sama ada juara Sukan Malaysia ke-20 itu mampu memecahkan rekod kebangsaan 100m miliknya sendiri selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 4:43 PM