HANNAH bangga dengan pencapaian Azeem. FOTO SYAIFUL RAZIQ
HANNAH bangga dengan pencapaian Azeem. FOTO SYAIFUL RAZIQ
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dijangka mampu untuk menyumbang pingat emas buat Malaysia di temasya Olimpik satu hari nanti berdasarkan prestasinya ketika ini.

Itu antara komen yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika diminta mengulas mengenai pencapaian pelari berusia 18 tahun itu yang sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 60 meter (m) dalam dewan, awal pagi tadi sambil menyifatkan beliau berbangga dengan aksi yang ditampilkan anak jati Perak itu.

"Saya sangat bangga dengan pencapaian berkenaan. Azeem adalah bintang meningkat naik dan diharapkan suatu hari nanti, dia boleh memberikan kita pingat emas di Sukan Olimpik," kata Hannah ketika ditemui di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Stadium Mini MSN Bukit Jalil di sini, hari ini.

Sebelum ini, Azeem yang mewakili Universiti Aurburn terus menampilkan prestasi yang memberangsangkan apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 6.62 saat (s) ketika menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina.

Dalam perkembangan lain, Hannah, berkata pihaknya kini sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukkan yang mencukupi menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini bagi memastikan lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan untuk atlet negara seperti mana yang dilakukan KOM.

"Hari ini saya datang untuk melihat sendiri kejohanan ini. Ini adalah sesuatu yang kita perlukan, apabila lebih banyak kejohanan dianjurkan, ia boleh membantu kita mengenal pasti bakat-bakat baharu.

"Selain itu, atlet juga boleh menilai prestasi dan memperbaiki ranking mereka. Ini adalah sesuatu yang saya sedang usahakan menjelang bajet kali ini. Untuk pastikan, kita sentiasa mempunyai peruntukkan yang cukup untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan.

"Ketika sesi townhall bersama atlet, inilah yang mereka perkatakan, mereka hanya mahukan lebih banyak kejohanan untuk memperbaiki ranking mereka," kata Hannah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 1:46 PM