PEMAIN import Pahang Rangers FC, Nasrollah Zadeh (kiri) pada perlawanan persahabatan dengan Selangor TOT di Stadium Tertutup Sukpa. FOTO Rafi Mamat
PEMAIN import Pahang Rangers FC, Nasrollah Zadeh (kiri) pada perlawanan persahabatan dengan Selangor TOT di Stadium Tertutup Sukpa. FOTO Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Rekod cemerlang enam kemenangan daripada tujuh perlawanan membuktikan Pahang Rangers FC kini sudah cukup bersedia menghadapi saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 bermula Sabtu ini.

Sedikit tergugat apabila mereka mencatat keputusan seri 5-5 pada pertemuan dengan pendatang baharu MPFL, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijangka menjadi antara pencabar utama skuad Pantai Timur itu.

Jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas Ullastre, berkata dia berpuas hati dengan keputusan perlawanan persahabatan yang dilalui pasukannya bagi menghadapi saingan liga musim ini.

Menurutnya, berdasarkan tujuh perlawanan yang dilalui, barisan pemain yang mampu menggalas tugas sepanjang saingan liga sudah dalam bayangan.

Katanya, Pahang Rangers musim ini mempunyai barisan pemain yang lengkap terutama dengan kehadiran dua tenaga import, Nasrollah Zadeh dan Matheus Gonzalez.

"Saya lihat gandingan pemain import dan tempatan kini begitu serasi dan persefahaman mereka juga semakin menjadi pada setiap perlawanan persahabatan yang dilalui.

"Kelicahan serta kebolehan menjaringkan gol milik Mohd Ridzwan Bakri diharap terus menjadi senjata untuk Pahang Rangers menjinakkan setiap lawan," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Pahang Rangers, Tengku Fahad Mua'adzam Shah Sultan Ahmad Shah berkata, saingan MPFL musim ini dijangka lebih mencabar terutama dengan kehadiran pasukan JDT yang kali pertama bersaing dengan membariskan ramai pemain terbaik kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 2:53 PM