ANTARA aksi Pahang Rangers bertemu JDT. FOTO Pahang Rangers
ANTARA aksi Pahang Rangers bertemu JDT. FOTO Pahang Rangers
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pahang Rangers FC membuktikan kemampuan sebenar mereka musim ini apabila mudah membenam pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) 4-1 pada perlawanan persahabatan menjelang bersambungnya saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 pada 29 April ini.

Kejayaan berkenaan seolah skuad bimbingan Gerard Casas sudah cukup bersedia mengharungi saingan baki perlawanan kumpulan A yang menyaksikan pasukan Pantai Timur itu kini berada di tangga teratas dengan 15 mata menerusi lima kemenangan.

Casas berkata, kemenangan keatas JDT di gelanggang lawan kelmarin suatu yang menarik dan boleh dibanggakan walaupun ia hanya perlawanan persahabatan yang diadakan pada bulan puasa.

Menurutnya, walaupun berehat panjang daripada saingan MPFL 2023 namun prestasi pemain Pahang Rangers tetap berbisa menerusi corak permainan yang berkesan mengikut perancangan pada setiap sesi latihan.

"Kejayaan keatas JDT yang menjadi pencabar utama musim ini suatu yang membanggakan, cemas apabila ketinggian 0-1 pada awal permainan menyaksikan kebangkitan dilakukan barisan pemain Pahang Rangers.

"Empat gol Pahang Rangers disumbang oleh Awalluddin Mat Nawi pada minit ke lapan diikuti dua jaringan Ahmad Harith Naim Muhamed Nasir (m-21 dan 36), Mahadir Harahap Khairuddin (m-34) dan Muhammad Farhan Khairul Anuar (m-35)," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, kemenangan keatas JDT diharap menjadi landasan untuk Pahang Rangers mencatat kejayaan ke atas lawan pada pertemuan dengan Pulau Pinang di gelanggang lawan pada perlawanan keenam saingan MPFL 2023 pada 29 April nanti.

Casas berkata, Pahang Rangers FC kini mengumpul 36 gol menerusi lima perlawanan dengan menewaskan Sabah (9-1), KPT-PST Mustangs (7-1), Kedah (8-2), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (6-1) dan Terengganu (6-0).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 6:46 PM