AISHAH menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan kepujian pada Majlis Konvokesyen Ke-25 UMS di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan UMS
AISHAH menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan kepujian pada Majlis Konvokesyen Ke-25 UMS di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan UMS
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Selepas membantu memecah rekod kebangsaan acara 4 x100 meter wanita pada Sukan Sea Kemboja 2023 Mei lalu, atlet olahraga negara, Nur Aishah Rofina Aling menetapkan sasaran untuk memecah rekod kebangsaan acara pecut 100 meter wanita pula.

Pelari pecut digelar 'gadis turbo' itu mahu memenuhi impiannya menerusi kejohanan olahraga yang bakal disertainya pada Januari depan selepas merehatkan diri sejak Julai lalu bagi menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Nur Aishah, 24, baru saja menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan kepujian pada Majlis Konvokesyen Ke-25 UMS, yang berlangsung bermula Isnin hingga Khamis lalu di Dewan Canselor, kampus induk UMS, di sini.

Selepas mewakili negara pada Sukan Sea Kemboja Mei lalu, Nur Aishah sepatutnya menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand pada Julai lalu, namun membuat keputusan untuk berehat seketika demi pengajian.

Berkongsi perancangannya selepas menerima ijazah, gadis berasal dari Sandakan itu berkata, beliau akan memberi fokus kepada bidang sukan yang diminatinya sejak di bangku sekolah rendah.

Sebagai permulaan, katanya beliau mahu mencapai misi untuk memecah rekod acara 100 meter wanita kebangsaan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kerjaya.

"Januari nanti akan ada kejohanan olahraga, tapi saya belum pasti kejohanan disertai. Misi utama saya ialah untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter wanita," katanya.

Membantu kuartet 4x100 meter negara bersama Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Zaidatul Husniah Zulkifli untuk meraih pingat gangsa pada Sukan Sea Kemboja 2023 dengan rekod baharu kebangsaan adalah antara pencapaian manis Nur Aishah dalam olahraga tahun ini.

Kuartet negara itu mencatat masa 44.58 saat, sekali gus memadam rekod lama kebangsaan 45.18 saat yang dicipta Nurul Faizah Asma Mazlan, Siti Fatimah Mohamad, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah pada Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di India pada 2017.

Nur Aishah turut melakar rekod baharu 11.9 saat untuk dirinya dalam acara pecut 100 meter wanita sekali gus mengutip pingat emas pada Kejohanan Padang dan Balapan, Kesatuan Olahraga Malaysia (MAF) pada awal tahun ini.

Sebelum ini, Nur Aishah juga melakar beberapa pencapaian membanggakan di dalam dan luar negara, termasuk SUKMA, selain berjaya memintas pelari Singapura pada saat akhir untuk kutipan emas acara 4×100 meter pada Kejohanan Terbuka Singapura, April lalu.

Aksi kepantasan lariannya yang dimuat naik di media sosial pernah tular di media sosial sejak tahun lalu dan menimbulkan kekaguman netizen selain menjadi kebanggaan Sabah hingga beliau digelar 'gadis turbo'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 5:05 PM