MOHAMAD Firdaus (kiri) diumum pemenang. FOTO SUKIPT
MOHAMAD Firdaus (kiri) diumum pemenang. FOTO SUKIPT
Affan Rostam


Tanjung Malim: Kekecewaan atlet silat tanding Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohamad Firdaus Mohd Israj ketika di Sukan Universiti Asean (AUG) baru-baru ini akhirnya dapat ditebus dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

Mohamad Firdaus yang juga atlet Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan berjaya meraih emas bagi acara silat tanding Kelas B Putra selepas menewaskan pesilat Politeknik Malaysia, Muhammad Al Imran Mohd Nizam 5-0 pada perlawanan akhir.

Jelasnya, kekalahan di AUG sebelum ini mendorongnya untuk bangkit dan membuktikan kemampuan sebenarnya dalam temasya SUKIPT kali ini.

"Saya nak tebus balik kekalahan saya di Sukan Universiti Asean (AUG) baru-baru ini dan saya nak ke AUG di Surabaya pula akan datang. Jadi, sebab itu saya kena menang di SUKIPT ini.

"Motivasi saya datang daripada kekalahan di AUG sebelum ini dan saya nak buktikan yang saya betul-betul boleh menang," katanya ketika di temui selepas perlawanan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selepas ini, Mohammad Firdaus akan mewakili Kelantan untuk dalam acara yang sama iaitu silat tanding Kelas B Putra di Sukan Malaysia (Sukma).

"Selepas ini saya akan ke Sukma pada bulan depan dengan mewakili negeri Kelantan," katanya.

Kem silat UPNM berjaya mendominasi acara silat dengan pungutan sebanyak lima emas. Ia jelas membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri dalam temasya SUKIPT edisi ke-5 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 3:54 PM