UMAR raih emas silat seni kategori tunggal putera.
UMAR raih emas silat seni kategori tunggal putera.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Atlet silat seni dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Umar Hafiz Roslee Amir, 24, muncul pemenang pingat emas pertama bagi temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

Umar berjaya memperoleh 461 markah sekali gus mengesahkan tempatnya selaku juara bagi acara silat seni kategori tunggal putera yang berlangsung di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Altet kelahiran Sabah itu juga mengakui tidak pernah bermimpi untuk meraih emas dalam acara ini memandangkan dia hanya sempat menjalani latihan selama dua hari.

Lebih manis, kejayaannya itu berjaya mengatasi atlet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang mewakili Malaysia dalam Sukan Universiti Asean (AUG) di Thailand baru-baru ini.

"Sebenarnya saya berlatih selama dua hari sebab saya sibuk dengan latihan industri dan tak jangka boleh menang sebab lawan saya ada atlet yang mewakili Malaysia di Sukan Universiti Asean (AUG) baru-baru ini.

"Saya kata dalam diri nak buat yang terbaik saja. Dapat tempat kedua atau ketiga pun saya bersyukur. Tapi, alhamdulillah rezeki dan berkat doa orang tua saya dan kawan-kawan saya dapat menang," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat.

Umar yang juga pelajar tahun dua jurusan Diploma Kecergasan Pertahanan, kini memasang niat untuk mewakili Malaysia dalam pentas sukan yang lebih besar.

"Sasaran saya kalau ada rezeki saya nak mewakili Malaysia untuk Sukan Sea atau mana-mana temasya lain," katanya.

Pingat perak berjaya diraih atlet dari UPSI iaitu Akimi Lotfi Aminudin, manakala atlet dari UiTM, Mohd Nur Syahmi Rohamidi melengkapkan podium di tangga ketiga.

Temasya SUKIPT yang sudah memasuki edisi kelima pada kali ini dijadual berlangsung sehingga 21 Ogos dan mempertandingkan 21 jenis sukan dengan pembabitan sebanyak 66 universiti dari seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 5:21 PM