AZWANI (kiri)  memenangi acara kumite bawah 61kg.
AZWANI (kiri) memenangi acara kumite bawah 61kg.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Atlet karate Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Nur Azwani Nor Azli, 23, tidak berdepan sebarang masalah menggungguli acara kumite wanita bawah 61 kilogram (kg) di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 hari ini.

Nur Azwani yang juga pemenang pingat emas acara sama di Sukan Universiti Asean (AUG) di Thailand baru-baru ini beraksi cemerlang untuk menewaskan atlet dari Politeknik Malaysia, Vaisnavi Murugan, 12-2.

Jelas Nur Azwani, dia berpuas hati dengan prestasi semasanya selain mengakui lawannya di peringkat akhir tidaklah begitu sukar.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian dan prestasi saya lakukan tadi. Saya bangga dengan diri saya.

"Saya rasa perlawanan akhir tadi agak mudah sebab lawan saya mungkin masih kurang pendedahan. Lagi satu dia juga bukan daripada altet Sukan Malaysia (Sukma) atau kejohanan lain.

"Daripada Sukan Universiti Asean (AUG) saya dapat konsisten yang lebih baik cuma hari ini saya rasa penat sikit, mungkin faktor cuaca," katanya ketika ditemui selepas final kumite wanita di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selepas ini, Nur Azwani akan terbang ke Konya, Turki untuk mengambil bahagian dalam Sukan Perpaduan Islam sebelum pulang ke Malaysia untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) pula.

"Esok saya akan terbang ke Turki untuk sertai Sukan Perpaduan Islam. Jadi, saya akan fokus itu dulu sebelum balik semula untuk Sukma pula.

"Saya atlet yang masih kurang berpengalaman jadi kalau dapat apa-apa pingat pun saya terima sebab itu pencapaian saya. Kalau tak dapat apa-apa saya ambil itu sebagai pengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 8:15 PM