MUHAMMAD Haziq Bistaman merangkul pingat emas selepas menewaskan atlet Thailand, Sufee Woh 5-0 pada aksi final Kelas J Putra Sukan Universiti Asean (AUG) 2022, semalam. FOTO AUG
MUHAMMAD Haziq Bistaman merangkul pingat emas selepas menewaskan atlet Thailand, Sufee Woh 5-0 pada aksi final Kelas J Putra Sukan Universiti Asean (AUG) 2022, semalam. FOTO AUG
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani:Cita cita untuk menjadi juara dunia silat tetap tersemat dalam diri Muhammad Haziq Bistaman selepas menggondol pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 di Thailand, semalam.

Namun bagaikan perlu mendaki gunung yang tinggi, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui masih banyak yang perlu dilakukan olehnya sekali gus dia berazam untuk terus memberikan yang terbaik.

Jelasnya, slot dalam skuad silat kebangsaan sentiasa diidamkan olehnya sekali gus berharap peluang itu akan hadir pada masa akan datang.

"(Gelaran juara dunia) itu memang cita cita yang jauh lagi. Dalam masa terdekat, mungkin fokus lebih kepada AUG seterusnya di Indonesia kerana pencak silat pasti dipertandingkan di sana.

"Saya pun akan bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) mewakili Terengganu. Cuma kalau ada rezeki, saya memang mahu menyarung baju Malaysia elit itu.

"Walaupun dalam kategori institut pengajian tinggi (IPT), saya adalah yang terbaik tetapi banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi," katanya.

Terdahulu, kem pencak silat negara berjaya meraih dua emas pada aksi di Menara Sunee, semalam.

Emas pertama hadir menerusi Putra Syaid Hidayatullah Ramli yang mudah mengatasi pesilat Thailand, Kanmueang Puriso dengan kemenangan 5-0 dalam perlawanan akhir Kelas H Putra.

Muhammad Haziq Bistaman melengkapkan emas kedua kontinjen negara apabila menewaskan seorang lagi pesilat tuan rumah, Sufee Woh 5-0 pada aksi final Kelas J Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 4:22 PM