Sumali (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PSM selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM. -FOTO NSTP
Sumali (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PSM selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berhasrat untuk mencabar segala keputusan yang diambil oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) selepas mengiktiraf Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan mereka.

Menurut PSM yang disingkirkan sebagai ahli gabungan Astaf, Mei lalu berhasrat untuk mencabar keputusan berkenaan selain mengemukakan permohonan semakan semula pengiktirafan badan induk Asia itu kepada MSC.

"PSM akan mencabar kesahihan keputusan Astaf pada bulan Mei 2021 yang menyingkir PSM dari menjadi ahli gabungan Astaf hanya kerana tindakan bekas Presiden PSM yang diambil atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Presiden Astaf pada ketika itu," kata presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Ujar beliau, keputusan Astaf di perkara 1, juga dilihat sebagai satu pelanggaran kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Astaf berkenaan proses penggantungan dan penyingkiran mana-mana ahli.

"PSM akan membuat permohonan semakan semula keputusan Astaf yang menerima satu badan baru iaitu MSC sebagai ahli gabungan tanpa MSC memperoleh dan memenuhi syarat yang termaktub di dalam Perlembagaan Astaf (Artikel 12 Membership Perkara 7) yang menyatakan bahawa sebarang permohonan untuk menjadi ahli gabungan haruslah disertakan dengan suatu pengesahan dan pengiktirafan Majlis Olimpik Negara.

"Perlembagaan Astaf turut menyebut berkenaan keperluan pengiktirafan oleh kerajaan melalui Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebagai badan induk kebangsaan sebelum boleh diterima sebagai ahli. Dalam hubungan ini, sekiranya terdapat dokumen yang menyatakan sedemikian oleh PJS, maka wujudnya dua badan induk kebangsaan bagi sukan sepaktakraw yang mana ia adalah jelas melanggar prinsip ditetapkan oleh PJS.

"Keputusan membentuk sebuah badan induk sukan yang baru boleh dipertikaikan apabila ia hanya disertai oleh enam persatuan negeri manakala PSM sebagai badan induk asal mempunyai keahlian sebanyak 10 buah persatuan negeri serta empat ahli bersekutu, yang jelas menunjukkan jumlah majoriti," kata Sumali.

Sabtu lalu, Astaf menerusi presiden, Datuk Abdul Halim Kader dan Setiausaha Agungnya, Boonchai Lorhpipat mengesahkan MSC sebagai ahli gabungan mereka yang berkuatkuasa serta merta.

Abdul Halim berkata, keputusan itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Eksekutif Astaf selain menyatakan pihaknya tidak menerima kembali PSM memandangkan sudah serik dengan badan sukan berkenaan.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapisiti Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 12:52 PM