MARKIMAN yakin entiti baharu akan diterima sebagai ahli gabungan Astaf.
MARKIMAN yakin entiti baharu akan diterima sebagai ahli gabungan Astaf.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiga ahli gabungan yang diketepikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersama Perlis yang masih digantung badan induk itu melakukan tindakan drastik apabila mahu menubuhkan entiti baru sepak takraw negara yang dinamakan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.

Tindakan ketiga-tiga ahli gabungan berkenaan iaitu Selangor, Sarawak dan Putrajaya bersama Perlis adalah berikutan kecewa dengan PSM yang didakwa gagal membaikpulih badan induk itu selepas disingkirkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Dakwa mereka, PSM juga dilihat mahu meminda perlembagaan yang sudah dipersetujui dan dimuktamadkan bersama-sama Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebelum ini pada Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) badan induk itu esok.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran berkata, pihaknya yakin bahawa entiti baru itu akan diterima sebagai ahli gabungan Astaf atas dasar barisan kepimpinan yang keseluruhannya berwajah baru dan tidak terpalit dengan isu mencemarkan imej dan maruah sepak takraw negara.

"Kami juga akan menghantar satu salinan dokumen pendaftaran Jawatankuasa Penaja penubuhan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia kepada pihak Astaf. Ia sebagai makluman membuktikan kesungguhan dan komitmen yang tinggi untuk membina semula keyakinan Astaf agar menerima kembali Malaysia sebagai ahli gabungan mereka dengan meletakkan tadbir urus yang berteraskan amanah dan intergriti dalam kepimpinan sukan sepak takraw di Malaysia," katanya yang mengemukakan permohonan entiti baru itu kepada PJS, hari ini.

Jelas Markiman, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PJS yang berusaha menyelesaikan kemelut PSM sebelum ini.

"Kami amat kesal bila ada pihak dalam PSM yang tidak menghormati dan berterima kasih di atas segala usaha dan kesungguhan PJS menyelesaikan kemelut sebaliknya cuba bertindak menggagalkan usaha untuk mengembalikan maruah dan imej sepak takraw negara di mata dunia," katanya.

Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM pada 7 Oktober lalu sebulat suara mengetepikan ketiga-tiga ahli gabungan itu dan mereka hanya boleh menyertai PSM dengan mengemukakan permohonan semula selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu.

Perlis pula sudah digantung oleh PSM sebelum badan induk disingkirkan oleh Astaf. PSM sebelum ini dikenakan hukuman penyingkiran daripada Astaf manakala bekas presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail dijatuhkan hukuman penggantungan selama 17 tahun sehingga 2038.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 6:17 PM