PELUMBA dari Republik Czech, Jan Hirt mengangkat tangan selepas memenangi perlumbaan peringkat ke-16 di Giro d’ Italia. FOTO REUTERS
PELUMBA dari Republik Czech, Jan Hirt mengangkat tangan selepas memenangi perlumbaan peringkat ke-16 di Giro d’ Italia. FOTO REUTERS
Reuters

Salo, Itali: Pelumba basikal Republik Czech, Jan Hirt yang mewakili pasukan Intermarche-Wanty Gobert mengatasi masalah basikal dan kejang otot untuk menang peringkat ke-16 Giro d'Italia, pada Selasa, sebelum memasuki peringakat berbukit pada minggu terakhir.

Kemenangan penting Hirt itu dihasilkan pada perlumbaan sejauh 202 kilometer (km) dari Salo ke Aprica apabila pelumba terpaksa berkayuh pada ketinggian lebih 5,000 meter.

Dia pada mulanya ketinggalan di belakang pendahulu, tetapi berjaya memintas semula sebelum kemuncak Mortirolo di Banjaran Alps.

Pada ketika Hirt melakukan pendakian terakhir di Valico di Santa Cristina, dia mendahului perlumbaan bersama pelumba Belanda, Thymen Arensman - yang cuba membuat pemisahan awal, tetapi ketinggalan tujuh saat apabila melintasi garisan penamat.

"Saya mahu melakukan sesuatu yang bermakna hari ini. Setiap kali mendengar nama Mortirolo, saya mahu menyerlah. Saya mahu melakukan pemisahan pada hari ini," kata Hirt.

"Ada detik sukar apabila kumpulan berpecah, jadi kami terpaksa mengejar dari belakang di Mortirolo. Kemudian pada pendakian terakhir, basikal saya mengalami masalah.

"Kemudian saya mengalami kekejangan otot ketika menuruni bukit. Saya berdepan beberapa masalah ini, tetapi hanya mahu terus berjuang sehingga ke garisan penamat."

Pendahulu keseluruhan, Richard Carapaz dari Ineos Grenadiers, Mikel Landa (Bahrain Victorious) dan Jai Hindley (Bora-Hansgrohe) berada dalam kumpulan yang memecut untuk tempat ketiga dan mereka ketinggalan satu minit dan 24 saat di belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 11:31 AM