PELUMBA pasukan Jumbo Visma, Sepp Kuss dari AS memenangi perlumbaan peringkat ke-15 edisi ke-108 Tour de France sejauh 191km, hari ini. FOTO AFP
PELUMBA pasukan Jumbo Visma, Sepp Kuss dari AS memenangi perlumbaan peringkat ke-15 edisi ke-108 Tour de France sejauh 191km, hari ini. FOTO AFP
AFP

Andorra, Perancis: Juara bertahan, Tadej Pogacar melepasi cabaran cuaca panas pada ketika perlumbaan Tour de France (TdF) tiba di Pyrenees, hari ini, dengan mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan.

Perlumbaan mencabar di peringkat ke-15 TdF itu dimenangi pelumba Amerika Syarikat (AS), Sepp Kuss daripada pasukan Jumbo Visma, yang membuat pemisahan ketika empat pendakian terakhir dan meninggalkan pelumba berusia 41 tahun, Alejandro Valverde di tempat kedua.

Kuss, 26, yang berasal dari Colorado, muncul pelumba pertama AS sejak Tyler Farrar pada 2011 memenangi peringkat perlumbaan di TdF dan keluarganya turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu.

"Teman wanita dan ahli keluarga saya berada di pendakian terakhir untuk bersorak memberi semangat. Saya kehilangan kata-kata," kata Kuss, pelumba pakar pendakian dan keluarganya berasal dari Slovenia.

"Ia adalah hari yang sukar, tetapi saya mengenali laluan ini berdasarkan latihan dan tahu di mana boleh membuat pemisahan," katanya.

Pogacar pula mendapat keuntungan besar pada hari ini apabila dia ketinggalan ketika menuruni cerun berangin di pendakian ketiga, tetapi terus bertenang dan mengekalkan kelajuan pada ketika pencabar terdekat kian mengancamnya.

Pelumba pasukan Ineos menyatakan mereka akan memerangkapnya bagi membolehkan rakan sepasukan mereka, Richard Carapaz bersaing untuk merebut jersi kuning.

Pelumba Ecuador itu kini menduduki tempat keempat dan ketinggalan 5 minit 33 saat di belakang Pogacar.

Pelumba akan berehat esok, tetapi perlumbaan hari ini adalah peringkat pertama daripada empat cabaran di kawasan pergunungan Pyrenees, yang dijangka menentukan pemenang TdF edisi 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 12:49 AM