REAKSI Caruso selepas memenangi peringkat kesembilan Vuelta a Espana. FOTO AFP
REAKSI Caruso selepas memenangi peringkat kesembilan Vuelta a Espana. FOTO AFP
AFP

Alto de Velifique: Pelumba Bahrain Victorious, Damiano Caruso memenangi peringkat kesembilan Vuelta a Espana manakala Primoz Roglic mengukuhkan kedudukan pendahulu keseluruhan mengatasi Enric Mas di tempat kedua.

Pelumba Colombia, Egan Bernal gagal untuk mengikuti Roglic (Jumbo-Visma) dan Mas (Movistar) selepas saingan semakin sengit dengan pendakian 13.2 kilometer (km) menuju ke Alto de Velefique.

"Kami mengambil keputusan untuk memberikan segala-galanya. Tapi yang pasti ramai pelumba lebih baik dan tiada pilihan lain selain mencuba di hari lain," kata Bernal yang menduduki tempat kelima keseluruhan dengan 1 minit 52 saat.

Caruso, pelumba berusia 33 tahun dari Itali, adalah naib juara Giro d'Italia pada Mei lalu dan dia nyata dapat memberikan cabaran kali ini sebelum melakar kemenangan itu.

Dia berjaya mengatasi cabaran pendakian sejauh 13 kilometer terakhir selepas mendahului lima minit berbanding kumpulan jersi merah dengan Roglic hanya ketinggalan 1 minit 05 saat berbanding Caruso ketika menuju garisan penamat.

"Pendakian terakhir sangat panjang," kata Caruso di garisan penamat.

"Apa yang saya lakukan ini sangat luar biasa. Perasaan kali ini sangat hebat dan mengulangi pencapaian ketika di Giro."

Roglic pula dilihat masih tidak berpuas hati dengan prestasinya.

"Ia sangat panas tetapi saya berjaya mengharunginya. Kami mempunyai tempoh rehat dan akan berusaha pada peringkat seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 1:35 PM