SOSA tiba seorang diri di garisan penamat ketika memenangi perlumbaan Peringkat Ketiga LTdL 2022 dari Putrajaya ke Genting Highlands, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
SOSA tiba seorang diri di garisan penamat ketika memenangi perlumbaan Peringkat Ketiga LTdL 2022 dari Putrajaya ke Genting Highlands, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
Ferzalfie Fauzi


Genting Highlands: Pelumba pasukan Movistar, Ivan Ramiro Sosa mempunyai sedikit kelebihan untuk muncul juara keseluruhan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 selepas muncul juara Peringkat Ketiga dari Putrajaya ke Genting Highlands yang menawarkan pendakian berstatus Hors, hari ini.

Sosa tiba terlebih dulu di garisan penamat dengan mencatat masa 3 jam 25 minit 31 saat (s), sekali gus mengenepikan pencabar terdekat Hugh Carthy dari pasukan EF Education-Easy Post yang ketinggalan 0.193s.

Rakan sepasukan Sosa, Einer Augusto Rubio melengkapkan podium dengan menduduki tempat ketiga selepas ketinggalan 1.56s.

Kejayaan Sosa dalam perlumbaan sejauh 124.2 kilometer (km) itu menyaksikan jersi kuning berpindah milik kepadanya, namun masih belum berada dalam keadaan selamat kerana hanya dibezakan 0.23s dengan Carthy tatkala masih terdapat pendakian mencabar di Peringkat Ketujuh di Gunung Raya, Isnin depan.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Colombia itu tetap gembira dengan kejayaan muncul juara kali ke-16 sepanjang karier dan mendedikasikan kemenangan kepada pasukannya yang berstatus WorldTeam.

"Saya gembira dengan kemenangan ini, kerja sepasukan yang mantap. Ini kemenangan yang saya idamkan kerana melalui saingan penuh berliku musim ini.

"Ia sangat penting buat saya untuk menamatkan saingan musim ini dengan baik," kata pelumba berusia 24 tahun itu.

Sosa mengakui dia melakukan kayuhan dengan mantap bersama Carthy ketika mendaki puncak Genting Highlands sebelum meluru solo ketika berbaki 1km menuju garisan penamat.

Sementara itu, Jersi Merah selaku Raja Bukit kekal menjadi milik pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff yang mengumpul 29 mata.

Aiman berjaya mengungguli dua zon pendakian awal di Tekali dan Look Out Point Ampang dan dikejar rapat Sosa yang mengumpul 25 mata, manakala Carthy dengan 24 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 5:31 PM