PELUMBA Belgium, Dries De Bondt memenangi peringkat ke-18 Giro d'Italia. FOTO AFP
PELUMBA Belgium, Dries De Bondt memenangi peringkat ke-18 Giro d'Italia. FOTO AFP
AFP

Treviso, Itali: Pelumba Belgium, Dries De Bondt memenangi perlumbaan peringkat ke-18 Giro d'Italia, hari ini, apabila kelompok pemisah menafikan usaha pelumba pecut untuk memintas mereka pada kilometer terakhir perlumbaan.

Laluan mendatar terakhir pada perlumbaan selama 21 hari mengelilingi Itali itu sepatutnya peluang terakhir kepada jaguh pecut seperti Arnaud Demare dan Mark Cavendish, tetapi kumpulan yang melakukan pemisahan awal memenangi pecutan beramai-ramai ke garisan penamat.

"Ia adalah persoalan mengenai kami, bukan saya. Ia adalah kerjasama sehingga ke garisan penamat," kata De Bondt.

"Semua orang menyatakan Cavendish atau Demare atau (Alberto) Dainese akan menang - ia sudah tertulis.

"Tetapi, tiada saat yang meragukan, tiada yang tersisih daripada giliran," katanya mengenai usaha dilakukan kelompok pemisah.

De Bondt, 30, yang berbadan sasa mengatasi pelumba Jumbo, Edoardo Affini menerusi 'photo finish' diikuti Magnus Cort dari EF di tempat ketiga dan Davide Bardiani dari CSF di tempat keempat selepas mereka bergabung dan bekerjasama selepas dua pusingan perlumbaan di bandar Treviso.

Kelompok membabitkan pakar pecut ketinggalan dua minit di belakang dan mereka sepatutnya berjaya memintas kuartet pemisah itu lebih awal.

Pelumba Perancis, Demare dari FDJ masih mendahului mata pecutan dengan 254 mata manakala Cavendish, 37, di tempat kedua dengan 132 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 8:32 AM