TIGER Woods bercakap pada sidang media, semalam. FOTO Reuters
TIGER Woods bercakap pada sidang media, semalam. FOTO Reuters
AFP

Augusta: Tiger Woods dijangka akan bermain di Masters dan dia membayangkan peluang untuk memenangi kejohanan itu.

Woods tersisih selama 14 bulan selepas terbabit dalam kemalangan kereta yang menyebabkan kecederaan teruk pada kaki kanannya, namun juara 15 kejohanan utama itu berkata, dia merancang untuk melakukan tee off pada aksi Masters ke-18 bermula Khamis ini di Kelab Golf Augusta National.

"Buat masa sekarang, saya akan bermain," kata Woods pada sidang media di kelab ternama di Georgia itu dan kemunculannya ketika sesi latihan disambut dengan keterujaan penyokong serta lawan.

Woods yang memenangi gelaran kelima Masters pada 2019 apabila kembali semula selepas pembedahan tulang belakang, berkata dia akan berlatih sembilan lubang hari ini dan akan membuat keputusan muktamad selepas melihat keselesaan pada kakinya.

"Ia berkaitan dengan bagaimana badan saya pulih dan mampu bertindak semula pada hari berikutnya," katanya yang melakukan latihan sembilan lubang, dua hari lalu.

Woods berkata, cabaran utama pada minggu ini adalah berjalan di lapangan yang agak beralun di bawah pokok pine yang tinggi dan dia menyatakan: "Satu-satunya kawasan landai adalah di kawasan tee pada lubang ke-18."

Ditanya cabaran mana lebih berat antara pembedahan tulang belakang, kecederaan kaki kanan, berjalan naik turun bukit, Woods berkata: "Semuanya mencabar."

Jika dia mampu berjalan di sepanjang lapangan dan mengurangkan tekanan kepada kaki kanannya, Woods percaya dia berpeluang menyarung jaket hijau buat kali keenam pada Ahad ini, sekali gus menyamai rekod sepanjang zaman gelaran Masters disandang Jack Nicklaus.

"Saya boleh," katanya. "Saya tidak ragu-ragu mengenai apa yang boleh dilakukan secara fizikal berkaitan golf."

"Anda tahu, 72 lubang adalah perjalanan panjang dan ia cabaran sukar dan saya harap mampu mengatasinya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 8:43 AM