AFP

Augusta, AS: emukau peminat Masters AS apabila mencatat keputusan mengagumkan ketika latihan di Augusta National semalam, melakukan pukulan ‘chip’ dan ‘approach’ mantap yang menandakan juara 14 gelaran utama itu kembali ke puncak prestasi.

Woods yang terlepas Masters tahun lalu kerana pembedahan belakang, memukau penonton ketika berlatih lewat petang di samping rakan lamanya Mark O’Meara.

“Saya berasa bagus dan seronok keluar ke sana,” kata Woods. “Tapi lapangan ini agak laju sedikit berbanding ketika latihan minggu lalu.”

Woods yang merudum ke tangga ke-111 ranking dunia, melakukan penampilan pertama di khalayak ramai sejak menarik diri daripada Torrey Pines selepas hanya 11 lubang Februari lalu kerana masalah sakit belakang serta permainan ‘short’ yang buruk.

“Dua bulan terakhir satu proses buat saya tapi kini saya kembali,” jelas Woods. “Ia satu peningkatan. Saya berasa perlu membaiki permainan hingga boleh bertanding dan memenangi pertandingan golf dan ia sudah kembali.”

Woods tiba dengan kapal terbang dari Florida dan terus menuju ke lapangan latihan ‘chip’ Augusta National dan melakukan kira-kira 70 pukulan sebelum menghabiskan masa sejam di lapang latihan.

Sepanjang latihan itu, Woods yang jelas kelihatan selesa dilihat mendengar muzik, sekali- sekala menari, tersenyum dan rileks, berpelukan dengan bekas jurulatih hayunan Sean Foley, bekas juara Terbuka British, Darren Clarke dan O’Meara.

“Seronok dapat berjumpa Mark sekali lagi,” ujar Woods. “Kami saling menghantar mesej sepanjang masa dan ia seperti masa lalu. Saya rindukannya.”

Penampilan bersahaja Woods dan kemampuannya melakukan pukulan menakjubkan mengembalikan semula kelibat lamanya yang memenangi Masters empat kali. Dia kali terakhir menyarung Jaket Hijau 10 tahun lalu.

Dia tidak menang sebarang kejuaraan utama sejak Terbuka AS 2008 dan memburu rekod 18 kejuaraan utama dimiliki Jack Nicklaus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:34 AM