TIGER Woods. FOTO FAIL AFP
TIGER Woods. FOTO FAIL AFP
Reuters

Oklahoma: Tiger Woods dilaporkan berlatih di lapangan Southern Hills, Tulsa, Oklahoma, semalam, yang akan menjadi lokasi pertandingan Kejuaraan PGA tahun ini, pada ketika dia sedang menguji sama ada mampu bersaing pada kejohanan utama kedua, bulan depan.

Woods, 46, yang hampir kehilangan kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, awal tahun lalu, dilaporkan tiba di lapangan itu untuk bermain 18 lubang dengan diiringi wakil kelab dan bukannya kedi kebiasaan, Joe LaCava.

Menerusi video yang tular di media sosial, Woods berlatih dengan memakai baju kelabu, seluar pendek hitam dan pakaian panjang untuk menutup kaki kanannya.

Menurut Golf Digest, yang memetik sumber kepada juara acara utama 15 kali itu, Woods mahu bertanding di Kejuaraan PGA, tetapi mahu melihat tindak balasnya terhadap tambahan beban dalam minggu mendatang sebelum membuat keputusan akhir.

Kali terakhir Kejuaraan PGA diadakan di Southern Hills adalah pada 2007, apabila Woods memenangi acara itu buat kali keempat menerusi kelebihan dua pukulan, tetapi reka bentuknya kini berubah sejak diubah suai.

Woods yang mengesahkan dia merancang untuk bermain di Terbuka Britain di St Andrews pada Julan depan, mendapat sambutan hebat ketika membuat penampilan semula di Masters, tiga minggu lalu, apabila menduduki tempat ke-47.

Sebelum beraksi di Masters, Woods turut meninjau dan berlatih di Augusta National yang juga acara utama pertamanya pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 9:37 AM