PSM cabar tindakan Astaf.
PSM cabar tindakan Astaf.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pihak peguam yang dilantik mewakili Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) hari ini mengemukakan satu surat kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) bertujuan memohon pembatalan pendaftaran Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai badan sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Abidullah Salleh, permohonan berkenaan susulan daripada tindakan PSM yang memohon campurtangan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) bagi menyelesaikan pertikaian perundangan dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

"Kesahihan keputusan penyingkiran PSM dari Astaf. Alasan penyingkiran PSM semata-mata kerana tindakan bekas Presiden PSM (Datuk Ahmad Ismail) yang menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) di atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Presiden Astaf pada ketika itu adalah tidak munasabah dan bersalahan dengan prinsip keadilan.

"Terdapat pelanggaran peruntukan Perlembagaan Astaf dalam proses membuat keputusan untuk menyingkirkan PSM dari Astaf. Kesalahan penerimaan MSC sebagai ahli gabungan Astaf di mana penerimaan badan itu sebagai ahli gabungan Astaf adalah bertentangan dengan kehendak Fasal 12 Perlembagaan Astaf di mana MSC masih belum diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM)," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, MOM cuma mengiktiraf PSM sebagai satu-satunya badan induk sukan sepak takraw negara.

"Oleh sebab itu, MSC tidak boleh mewakili Malaysia dalam apa jua pertandingan di peringkat antarabangsa kerana ia adalah berlawanan dengan Perlembagaan MOM.

"PSM mengambil maklum berkenaan kelulusan pendaftaran MSC oleh PJS pada 10 Februari 2022. Bagaimanapun, adalah menjadi pendirian PSM bahawa pendaftaran itu tidak dapat menyelesaikan kemelut yang melanda sukan sepak takraw tanah air malah boleh mengakibatkan perpecahan di antara badan sukan ini di Malaysia yang selama ini bernaung di bawah PSM.

"Oleh yang demikian, PSM membuat permohonan seperti yang berikut kepada PJS dan juga memohon agar maklum balas diberikan dalam tempoh tujuh hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 5:56 PM