Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Ibrahim Mohd Yusof
Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Ibrahim Mohd Yusof
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: "Bila diiktiraf satu pihak, satu pihak lagi saya rasa (sudah) tidak wajarlah dianggap sebagai badan induk kebangsaan," itu kata Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berhubung kemelut melanda sukan sepak takraw negara.

Ibrahim berkata demikian mengulas mengenai kewujudan entiti baharu yang didaftarkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) iaitu Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) selepas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) disingkirkan daripada menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Beliau berkata, penyingkiran PSM daripada Astaf membantutkan usaha menggerakkan sukan sepak takraw negara ke persada antarabangsa disebabkan sekatan pengiktirafan susulan penyingkiran PSM sebagai badan induk sukan sepak takraw negara.

"Kalau dilihat dalam keadaan sekarang, Astaf hanya iktiraf satu sahaja entiti sebagai badan induk nasional untuk sepak takraw," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi pertemuan dan dialog antara jawatankuasa PAFA bersama wakil blok Persatuan Bola Sepak Melayu Perak (PBMP) di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Ibrahim menerima surat daripada Astaf menyatakan pendirian untuk tidak lagi menerima PSM sebagai ahli gabungannya susulan tindakan PSM yang berterusan melanggar beberapa perkara termaktub dalam hukuman selepas PSM disingkirkan daripada Astaf.

Namun, MSC sah diterima menjadi ahli gabungan Astaf yang baharu berkuatkuasa kelmarin menerusi akuan ditandatangani Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dari Singapura dan Setiausaha Agung, Boonchai Lorhpipat dari Thailand.

Sebelumnya, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Presidennya, Tan Sri Mohd Norza Zakaria dilaporkan berkata PSM masih berada bersama mereka ketika ini namun tidak menolak status itu mungkin berubah sekiranya Astaf menerima serta mengiktiraf MSC.

Sementara, ditanya mengenai tindakan PSM yang mahu mengheret Astaf ke mahkamah, Ibrahim berkata ianya terserah kerana PSM sememangnya berhak berbuat demikian.

"Saya rasa keadaan (kemelut) ini bersifat sementara sahaja. Jadi kita akan lihat apa tindakan sesuai atas asas perundangan yang kita ada bagi memastikan bahawa hanya ada satu sahaja badan induk untuk sesuatu jenis sukan. Insya Allah ianya boleh diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 5:31 PM