Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan (PJS) bersetuju untuk menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut di antara Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersama gabungan ahli badan induk berkenaan yang dikenali sebagai G11.

Antaranya dengan menubuhkan satu Pasukan Petugas membabitkan wakil PSM dan G11.

PJS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai perantara kepada PSM dan G11 selepas Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) mengekalkan hukuman menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan Astaf.

Malah PJS bersedia memberi khidmat nasihat dan panduan terutamanya dalam penambahbaikan pelembagaan struktur jawatankuasa tertinggi bersama-sama PSM dan G11.

"Sebagai badan kawal selia sukan sepak takraw rantau Asia/Ocenia, Astaf mempunyai bidang kuasa itu, manakala ahli gabungan mempunyai obligasi mematuhi peraturan, perlembagaan atau undang-undang Astaf.

"Perbincangan bersama-sama pihak PSM dan wakil G11 diadakan pada 9 Jun 2021 (Rabu) secara dalam talian.

"Dimaklumkan bahawa perbincangan itu berjalan dengan lancar dalam suasana yang amat harmoni. Kedua-dua pihak amat komited dan bersatu hati untuk mencari penyelesaian dalam kemelut ini," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa semua pihak bersepakat bahawa langkah penyelesaian hendaklah teratur mengikut proses berdasarkan perundangan dan perlembagaan; iaitu Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], Perlembagaan PSM dan Perlembagaan Astaf.

Katanya, PJS diberi amanah untuk menerajui semakan semula perlembagaan PSM.

Sebelum ini, G11 yang terdiri daripada persatuan negeri membuat keputusan keluar daripada PSM selepas badan induk sepak takraw kebangsaan itu dilanda kemelut dengan Astaf.

Kemelut itu pada akhirnya menyaksikan PSM dikenakan hukuman penyingkiran daripada Astaf manakala presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail dijatuhkan hukuman penggantungan selama 17 tahun sehingga 2038.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 8:13 PM