PSM terima Pestak. FOTO Agensi
PSM terima Pestak. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerima ahli gabungan baru dengan mengumumkan kehadiran Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak) selepas mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Ahad lalu.

Menurut Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Saleh jawatankuasa tertinggi memutuskan sebulat suara untuk menerima permohonan Pestak

menyertai semula PSM sebagai ahli gabungan.

"Dengan penyertaan Pestak, PSM kini dianggotai oleh 10 Ahli Gabungan dan 5 Ahli Bersekutu," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ura-ura mengenai Pestak akan kembali menyertai PSM dan meninggalkan MSC mula timbul sejak bulan lalu apabila tiada perwakilan dari badan induk berkenaan hadir ke Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara.

Sebelum ini MSC tetap tenang dan menjalankan tugas mereka sebagai entiti baharu sepak takraw negara walaupun ada ahli gabungannya mahu bertindak 'mengangkat kaki' meninggalkan mereka.

Malah Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman, beliau tidak gusar sekiranya perkara itu berlaku kerana mereka sememangya diiktiraf Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) sebagai badan induk tunggal sukan itu di negara ini.

Dalam masa yang sama PSM juga meragui pembabitan MSC dalam program sepak takraw negara, selepas satu aduan dibuat ke atas MSC oleh mantan setiausaha agungnya, Syed hussein syed abu bakar

"PSM mengambil maklum bahawa satu aduan dibuat ke atas MSC oleh mantan Setiausaha Agungnya. Aduan yang dibuat adalah serius memandangkan ia melibatkan perlanggaran perlembagaan oleh jawatankuasa tertinggi yang menyebabkan semua perlantikan yang dibuat ketika mesyuarat agungnya adalah tidak sah dan keabsahannya dipertikaikan.

"Oleh yang demikian, PSM menyerahkan isu tersebut kepada kebijaksanaan Pesuruhjaya Sukan (PJS) memandangkan ia jelas melanggar Akta Pembangunan Sukan 1997 Seksyen 20.

"Mengambilkira isu yang dibangkitkan jawatankuasa tertinggi PSM turut memutuskan untuk menjemput ahli gabungan dalam MSC untuk menyertai semula PSM ini kerana kami mempunyai keahlian yang lebih besar iaitu 15 badan sukan (11 ahli gabungan dan 4 ahli bersekutu) berbanding MSC yang hanya dianggotai oleh 6 badan sukan (5 ahli gabungan dan 1 ahli bersekutu).

"PSM adalah satu-satunya badan sukan yang diiktiraf mewakili sukan sepak takraw oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Sehubungan itu, PSM

adalah persatuan yang sah dan bertanggungjawab untuk mengendalikan pasukan kebangsaan ke Sukan SEA dan Sukan Asia," kata Abidullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 12:51 PM